2 Perenggan, Eksibit Dimasuk Semula Dalam Afidavit Pua

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini memasukkan semula dua perenggan dan dua eksibit mengenai 1MDB dalam afidavit Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee bagi menyokong permohonannya untuk membatalkan saman fitnah yang difailkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Panel tiga anggota yang diketuai oleh Hakim Datuk Rohana Yusuf dengan sebulat suara membenarkan rayuan Pua untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memadamkan perenggan dan eksibit dalam afidavit tersebut.

Dalam keputusannya, Hakim Datuk Rohana berkata mahkamah mendapati ada merit dlam isu-isu yang dibangkitkan oleh peguam Alliff Benjamin Suhaimi yang mewakili Pua.

Dua orang lagi hakim yang bersidang ialah Hakim Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Pada 5 Mei tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib untuk mengeluarkan dua perenggan dalam afidavit Pua dan dua eksibit mengenai 1MDB.

Najib memfailkan saman ke atas Pua, 43, dan Chan Chee Kong, 52, pemilik portal berita online Mediarakyat.net atas kapasiti peribadinya, kerana mendakwa bahawa Pua sebagai penceramah utama pada jamuan malam untuk mengutip derma pada 14 November, 2014, telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah mengenai 1MDB.

Beliau mendakwa bahawa ucapan Pua, yang berunsur fitnah, telah dimuat naik oleh Chan atau ejennya dalam laman YouTube Mediarakyat dan laman sesawang Mediarakyat.

Najib juga berkata penerbitan artikel berbaur fitnah itu yang boleh diakses dan dibaca secara bebas di seluruh dunia melalui Internet, blog, forum dan laman sesawang telah merosakkan reputasinya.

Pua memohon supaya saman yang difailkan oleh Najib dibatalkan dan Najib pula memohon supaya kedua-dua perenggan dan eksibit dalam afidavit sokongan tersebut dipadamkan.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib berkata beliau akan menunggu arahan daripada perdana menteri sama ada untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan Mahkamah Rayuan hari ini untuk mengembalikan semula kedua-dua perenggan dan eksibit, pada pendapatnya, tidak memberi apa-apa kesan mengenai permohonan Pua untuk membatalkan saman berhubung locus standi.

Alliff Benjamin memberitahu pemberita bahawa perkara itu telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 1 Disember di Mahkamah Tinggi berhubung permohonan Pua untuk membatalkan saman tersebut. – BERNAMA