2 Pensyarah Kanan Universiti Awam Direman

JOHOR BAHRU – Dua pensyarah kanan sebuah universiti awam cawangan Segamat hari ini direman tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa membabitkan nilai kira-kira RM25,000.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, Datuk Azmi Alias yang mengesahkan perkara itu berkata, Mahkamah Sesyen Segamat telah membenarkan tahanan reman berkenaan terhadap kedua-dua suspek yang berusia 40-an itu.

Semalam, menurut sumber, kedua-dua suspek berkenaan iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan ditahan SPRM di kampus mereka kira-kira pukul 2 petang.

Kedua-dua suspek dipercayai telah menggunakan kedudukan dan jawatan mereka dengan memberikan kerja-kerja berkaitan projek bekalan di universiti tersebut kepada sebuah syarikat yang dipercayai milik adik kepada seorang daripada suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun. – BERNAMA

Loading...