2 Penjenayah Terbabit Samun, Pecah Rumah Ditembak Mati

SEREMBAN – Dua penjenayah dipercayai terbabit dalam kegiatan samun dan pecah rumah ditembak mati oleh sepasukan anggota polis selepas dikejar sejauh enam kilometer di Jalan Broga-Setul, Lenggeng, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, dua suspek yang menaiki kereta Honda Accord itu dikesan di Jalan Mantin-Seremban sebelum sembilan anggota polis Bahagian Jenayah Berat Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan cuba menghalang kereta kereta suspek.

Bagaimanapun, suspek melarikan diri dengan memecut laju menghala ke Jalan Setul-Broga sebelum kereta mereka terbabas di satu selekoh tajam dan dikepung oleh tiga kereta polis.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata suspek yang duduk di sebelah pemandu, keluar dan melepaskan tembakan manakala pemandu berkenaan melibaskan parang ke arah anggota polis.

“Polis terpaksa melepaskan beberapa tembakan ke arah suspek untuk mempertahankan diri dan kedua-dua suspek mati di tempat kejadian,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hasil pemeriksaan selepas itu, polis menemui tiga beg di but kereta, antaranya, mengandungi parang, alatan pecah rumah, nombor pendaftaran kereta palsu dan dua gari tangan, dipercayai digunakan untuk menyamun mangsa, katanya.

“Identiti kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada pengenalan diri dijumpai bersama mereka,” katanya.

Jaafar berkata kedua-dua suspek itu dipercayai terbabit dalam empat kes samun di Nilai, melibatkan kerugian RM83,000 dan kereta yang dinaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Damansara, Kuala Lumpur.

Katanya, kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – BERNAMA

Loading...