2 Peniaga Didakwa Guna Identiti Palsu Daftar Kad Sim

SEPANG – Dua peniaga telefon bimbit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 18 pertuduhan mengemukakan identiti palsu bagi mendaftarkan kad sim membabitkan sebanyak 18 nombor talian telefon bimbit.

Ini merupakan kes pertama berhubung perbuatan mengemukakan identiti palsu untuk mendaftarkan nombor talian telefon bimbit dituduh di mahkamah.

Tan Shi Wei, 26, dan Chee Han Hing, 38, edua-duanya berasal dari Banting, Selangor, dituduh mendaftarkan 18 kad sim untuk 18 nombor talian telefon bimbit tanpa membuat pengesahan maklumat yang sah pengguna akhir terlebih dulu sepertimana dikehendaki oleh DiGi Telecommunications Sdn Bhd pada 27 Feb 2016 di sebuah kedai di Banting.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(4) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Saifulakmal Mod Sod menetapkan 22 Feb bagi sebutan semula kes itu dan membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan. Kedua-duanya membayar jaminan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Mohd Sophian Zakaria sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam Varghese Onny. – BERNAMA