2 Pembekal Dadah Kepada Nelayan Kuala Perlis Diberkas

KANGAR – Dua orang lelaki dipercayai menjadi pengedar dadah kepada nelayan di Kuala Perlis diberkas bersama pelbagai jenis bahan larangan itu oleh polis dalam satu operasi pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Noordin berkata turut dirampas wang tunai dan sebuah kereta Honda Civic, semuanya bernilai kira-kira RM51,000.

Katanya sepasukan anggota Jabatan Narkotik Negeri menyerbu sebuah rumah di Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis kira-kira 11.50 pagi semalam setelah membuat risikan selama beberapa hari.

“Kedua-dua suspek merupakan penduduk tempatan berumur 26 dan 32 tahun dan positif dadah serta mempunyai rekod berkaitan penyalahgunaan dadah, sedang tidur semasa serbuan dibuat.

“Mereka juga dipercayai bergerak di kawasan perairan Kuala Perlis dan membekalkan dadah kepada nelayan negara jiran,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut Abdul Rahman pasukan itu menemui satu paket dadah dipercayai heroin (16.61 gram), satu bungkus plastik ganja (33.37 gram), satu paket syabu dan tiga straw tiub syabu (3.13 gram) serta wang tunai RM18,000 dan 30,000 Bath Thailand.

Polis juga merampas 57 paket daun ketum, 12 bungkus air ketum dan 50 botol ubat batuk daripada kedua-dua suspek, tambahnya.

Dalam kes lain, polis Narkotik Kangar menahan lima lelaki berumur 22 hingga 29 tahun di kawasan rehat pekerja am Pusat Kegiatan Kemas, Simpang Empat kerana dipercayai terbabit penyalahgunaan dadah semalam.

Abdul Rahman berkata polis menemui dadah jenis heroin seberat 39 gram daripada mereka dan tiga daripadanya positif dadah jenis heroin.

Katanya 379 tangkapan dibuat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 yang menghasilkan rampasan 478.45 gram heroin; 103,033.98 gram ganja; 162.94 gram syabu; 13 liter ubat batuk; 373 liter air ketum dan 301.5 kilogram daun ketum dari Januari hingga April lepas. – BERNAMA

Loading...