2 Nelayan Nyaris Lemas Bot Terbalik

LUMUT – Dua nelayan tempatan nyaris lemas selepas bot dinaiki terbalik akibat dipukul ombak di Kuala Pantai Remis di sini, malam tadi.

Kedua-dua mangsa yang berumur lingkungan 30 dan 40an itu diselamatkan nelayan yang berada berhampiran lokasi mereka dilaporkan terjatuh sebelum dibawa pulang ke pelantar, 8.45 pagi tadi dalam keadaan lemah.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Muhammad Hanif Othman berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 10.15 malam daripada pemilik bot berkenaan.

“Kejadian disedari apabila pemilik bot berkenaan menerima panggilan daripada anaknya memaklumkan bot yang dinaiki dua pekerja itu dipukul ombak besar sehingga terbalik dan menyebabkan mereka terjatuh ke dalam laut.

“Anak pemilik bot bersama rakannya kemudian keluar ke laut dan menemukan bot berkenaan namun tidak menjumpai dua lelaki itu terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Hanif berkata sejurus laporan itu dibuat, pihaknya bertindak memaklumkan kepada pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Bomba untuk tindakan lanjut.

“Kerja-kerja mencari dan menyelamat dijalankan sebelum mangsa ditemui oleh nelayan di lokasi berhampiran mereka dilaporkan terjatuh,” katanya. – BERNAMA

Loading...