2 Maut, Seorang Cedera Parah Kereta Langgar Motosikal

NIBONG TEBAL – Dua sahabat maut selepas kereta yang mereka naiki hilang kawalan sebelum melanggar sebuah motosikal dan berpusing beberapa kali sebelum terbabas ke dalam longkang di Jalan Valdor, Tasek Junjong, di sini semalam.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 4.30 petang itu, Mat Isa Mohmad Rashid, 33, yang memandu kereta berkenaan dan sahabatnya Ibadillah Zikri Yunus, 29, terpelanting keluar dari kenderaan berkenaan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Manakala penunggang motosikal Mohd Syarrosnizam Shaari, 25, yang terpelanting selepas dilanggar kereta jenis Proton Satria itu mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Sungai Bakap (HSB), di sini.

Jurucakap polis berkata berdasarkan siasatan awal, kereta yang dinaiki dua lelaki dari arah Sungai Bakap menuju ke Tasek Junjong itu dipercayai hilang kawalan kerana keadaan jalan yang curam sebelum melanggar motosikal yang berada di laluan yang sama.

“Berdasarkan kesan calar dan kesan tayar di tempat kejadian, kereta itu dipercayai dipandu laju sebelum terlibat dalam kemalangan dengan motosikal.

Kenderaan berkenaan turut berpusing beberapa kali sebelum terbabas ke dalam longkang yang terdapat di kiri jalan.

“Kemalangan itu turut menyebabkan pemandu dan penumpang kereta berkenaan terpelanting keluar dari kenderaan, kedua-duanya yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap polis itu berkata mayat dua lelaki berkenaan dihantar ke HSB untuk bedah siasat dan kemalangan itu disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah dua lelaki itu selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Sungai Duri, di sini tengah malam tadi. – BERNAMA

Loading...