KUALA LUMPUR – Dua maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Genting Kelang dari arah bulatan Pahang ke Setapak di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada 1.15 pagi tadi itu, pemandu Nissan Grand Livina Kok Yik Hong, 35, dan rakannya Sam Ah Mooi, 60, maut di tempat kejadian.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP S. Markandan berkata kejadian berlaku apabila sebuah kereta Proton Wira dari arah Setapak menghala ke bulatan Pahang dikatakan hilang kawalan dan melanggar tembok pembahagi jalan di sebelah kanan jalan.
“Ia menyebabkan kereta Wira itu turut melanggar Nissan Grand Livina dan sebuah Perodua Myvi yang berada di laluan bertentangan.
“Grand Livina itu kemudiannya dilanggar sebuah lori yang berada di laluan tengah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Markandan berkata dua lagi penumpang Grand Livina isteri Kok, Koo Siew Yen, 36, dan anak lelaki Thomas Kong Zhi Yuan, 5 tahun cedera parah dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
“Pemandu Proton Wira dan dua penumpangnya mengalami cedera ringan manakala pemandu Perodua Myvi dan pemandu serta kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=osaw_3xW2NI