2 Beradik Dihukum Penjara Sehari & Denda Kerana Mencuri

KUALA LUMPUR – Dua beradik hari ini masing-masing dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai barang harian di sebuah pasar raya, bernilai lebih RM1,700.

Majistret Zuraini Abdul Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap A. Muniamah, 51, tukang cuci dan adiknya, A. Magesrey, 49, seorang pembantu dapur serta memerintahkan kedua-dua wanita itu dipenjara tiga bulan sekiranya mereka gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, Muniamah didakwa mencuri 33 jenis barang harian termasuk makanan, barangan kosmetik dan sabun yang keseluruhannya bernilai RM1,007.96 di Aeon Big, Mid Valley Megamall, Brickfields pada pukul 9.55 malam, 15 Nov 2014.

Magesrey pula didakwa mencuri 59 jenis barang termasuk perkakas dapur, sabun dan barangan kosmetik yang keseluruhannya bernilai RM717.74 pada tempat tarikh dan masa yang sama.

Zuraini berkata:”Keadaan di pasaraya pada waktu itu kelihatan lengang dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mereka melakukan kesalahan itu,” katanya.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, seorang kerani stor, S. Tamilvannan, 28, yang sedang bekerja di Aras G pasar raya itu telah nampak mereka berdua dalam keadaan mencurigakan sedang menolak dua troli yang sarat dengan barang keluar dari pintu lif menuju ke parkir.

Tamilvannan telah menahan mereka dan meminta supaya resit bayaran ditunjukkan kepadanya, namun mereka gagal mengemukakan sebarang resit.

Mereka kemudiannya dibawa ke pejabat keselamatan pasar raya tersebut dan hasil pemeriksaan ke atas troli itu mendapati terdapat pelbagai jenis barangan harian yang belum dibayar.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Zuraimi Kamarozzaman manakala adik-beradik itu diwakili peguam K. Jai. – BERNAMA

Loading...