2 Anggota Polis Direman Disyaki Minta Sogokan

KOTA KINABALU – Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman ke atas dua anggota polis selama enam hari mulai hari ini bagi membantu siasatan satu kes meminta wang sogokan daripada sepasang kekasih yang ditangkap berkhalwat.

Majistret Cindy McJuce Balitus membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman anggota polis berkenaan yang masing-masing berumur 39 tahun itu dan berpangkat koperal dan lans koperal.

Kedua-dua suspek, yang bertugas di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), ditahan oleh SPRM kira-kira 3.30 petang semalam.

Mereka dipercayai meminta suapan sebanyak RM5,000 daripada pasangan terbabit yang ditangkap oleh suspek ketika membuat rondaan di sekitar KKIA pada 3 Dis lepas.

Bagaimanapun, pasangan terbabit hanya memberikan RM1,000 dan melaporkan kejadian itu kepada SPRM. – BERNAMA