Kementerian Cari Dana Bina Semula Asrama Musnah Kebakaran

PADANG TERAP – Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan peruntukan bagi membantu membina semula asrama Sekolah Menengah Agama As Siddiqiah yang musnah dalam kebakaran di Padang Kerasak, Naka dekat sini baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sekurang-kurangnya RM1.5 juta diperlukan bagi membina semula dua buah blok asrama dan surau yang musnah dalam kebakaran pada Ahad itu, dan surat permohonan kepada Pejabat Perdana Menteri telah dihantar untuk tujuan itu.

“Saya akan berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bincang perkara ini,” katanya selepas melawat sekolah tersebut dan menyampaikan bantuan di sini hari ini.

Jelasnya, Jabatan Kerja Raya ditugaskan untuk membuat reka bentuk bangunan tersebut menggunakan dana awal yang diperoleh daripada kerajaan negeri, orang perseorangan dan kerajaan persekutuan.

Terdahulu, beliau yang juga anggota Parlimen Padang Terap mengumumkan peruntukan awal RM100,000 kepada sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, Mahdzir mengulangi kenyataanya sebelum ini agar Jabatan Pendidikan Negeri menyemak melihat semula sistem pendawaian sekolah-sekolah yang berusia 20 tahun ke atas.

Mahdzir berkata, ia kerana kecenderungan untuk berlaku litar pintas adalah tinggi bagi sekolah-sekolah berkenaan.

“Kita nak mengelakkan kejadian litar pintas daripada berlaku, kalau sekolah usia lebih 20 tahun ini, risiko itu sangat tinggi,” katanya. – BERNAMA

[wpdevart_youtube]7jVqQRl12HQ[/wpdevart_youtube]

Loading...