169 Pegawai Kadet Graduan Angkat Sumpah

PORT DICKSON – Seramai 169 Pegawai Kadet Graduan mengangkat sumpah kerahsiaan di Akademi Tentera Darat selepas seminggu melapor diri bagi menjalani latihan ketenteraan.

Pemangku Pengarah Kolej Pegawai Leftenan Kolonel Mohd Zamri Othman berkata kesemua pegawai kadet itu selesai mengangkat sumpah serta akan menjalani kursus ketenteraan dan ilmiah selama sembilan bulan.

“Pengisian ini dibuat bagi memastikan semua kadet setia kepada organisasi dan Yang Dipertuan Agung serta menyimpan rahsia negara yang melibatkan keselamatan daripada diketahui pihak tidak sepatutnya.

“Mereka yang mengangkat sumpah pada hari ini telah tertakluk kepada undang-undang yang jika dibocorkan rahsia tersebut, kadet-kadet ini boleh diambil tindakan tatatertib,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Pegawai Kadet Graduan Tahun 2018 di sini, hari ini.

Turut hadir Pegawai Staf 1 Cawangan Tenaga Kerja Komander Shahrudin Abu Bakar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Mohd Zamri berkata angkat sumpah ini adalah antara prinsip sebelum ditauliahkan menjadi anggota tentera yang bakal diserapkan kepada 16 kor kendalian Tentera Darat (TD).

Sementara itu, Pegawai Kadet Graduan Ahmad Hairi Azmi, 25, berkata dia menyertai tentera disebabkan minat dan dorongan kedua-dua datuknya yang berkhidmat di TD dan TLDM.

Beliau yang berasal dari Kuala Lumpur sebelum ini menamatkan pengajian pada peringkat ijazah Pengurusan Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah memilih TD sebagai kerjaya.

Bagi Nur Fatin Farhah Abdul Wahab, 24, berkata dia berminat dengan bidang ketenteraan ini sejak di universiti selepas menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) selama tiga tahun.

“Minat itu timbul selepas saya menyertai PALAPES dan saya sangat aktif mengikuti latihan ketenteraan hinggalah mendapat pangkat Leftenan Muda menyebabkan saya lebih serius menjadikan bidang tentera sebagai kerjaya dengan rela hati,” katanya.

Beliau berhasrat untuk diserapkan ke Kor Perkhidmatan Awam selari dengan pengajiannya di UUM dalam bidang Kewangan dan Perbankan Islam. – BERNAMA