Agong Kurnia Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat 131 Penerima

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2015 kepada 131 penerima.

Turut berangkat Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah ke istiadat pengurniaan itu yang berlangsung di Istana Negara di sini bersempena ulang tahun keputeraan rasmi Seri Paduka yang disambut pada 6 Jun lepas.

Mendahului senarai penerima darjah kebesaran ialah Ketua Pengarah Jabatan Arah Rekod dan Pencen Bahagian Perkhidmatan Anggota Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Brig Jen Datuk Nazri Abu Bakar yang menerima Darjah Johan Setia Mahkota (JSM).

Nazri satu-satunya penerima darjah kebesaran itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah SAC Datuk Salehuddin Abd Rahman serta Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan di Jabatan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Moktar Yassin Ajam antara 44 individu yang menerima darjah Kesatria Mangku Negara (KMN).

Selain itu bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Batu Pahat, Johor, Jabit Kamin, 76, yang hadir berkerusi roda turut dikurniakan KMN.

Sejumlah 43 individu menerima Ahli Mangku Negara (AMN) antaranya Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Nassir Abdul Aziz, dan 43 lagi menerima Pingat Pangkuan Negara (PPN). – BERNAMA