Imigresen Mampu Halang Individu Terlibat IS Di Pintu Masuk Negara

PETALING JAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mampu menghalang keluar masuk individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan militan Daesh (Islamic State) di semua pintu masuk dan keluar negara jika memperoleh maklumat awal daripada polis.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafa Ibrahim berkata pihaknya bergantung kepada pihak polis dalam membantu mengenal pasti individu yang terlibat sama ada warga tempatan mahupun asing dalam kegiatan itu.

“JIM hanya akan memberi perhatian terhadap nama dan negara individu yang dikenal pasti berdasarkan maklumat polis dan seterusnya individu berkenaan akan disenarai hitamkan dalam sistem kami.

“Berikutan itu, setibanya mereka di pintu masuk dan keluar negara, kami akan menahan mereka…seterusnya merujuk kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berkaitan pemalsuan pas pekerja para ekspatriat di sini, hari ini.

Mustafa menyifatkan kerjasama erat dengan polis penting dalam membantu mengesan individu terlibat dalam Daesh yang dilihat membawa ancaman besar bukan sahaja kepada Malaysia tetapi di peringkat global.

“Kerjasama erat antara JIM dan polis melalui pemeriksaan rapi yang dijalankan di kesemua pintu masuk dan keluar negara terbukti bila tiada rekod pembolosan individu terbabit dalam kegiatan berkenaan dilaporkan.

“JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam Daesh atau menyebarkan fahaman itu di negara ini kerana ia merupakan ancaman yang boleh menggugat ketenteraman negara ini,” katanya. – BERNAMA

[wpdevart_youtube]mfsFyi1FC1E[/wpdevart_youtube]

Loading...