APBN Lakukan Persediaan Rapi Hadapi Musim Tengkujuh

PUTRAJAYA – Walaupun usia penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) tidak sampai setahun jagung, namun agensi itu telah mengambil inisiatif dan langkah awal dalam membuat persediaan menghadapi musim tengkujuh terutamanya bencana banjir.

Antara usaha yang diambil APBN ialah mengadakan mesyuarat bersama pejabat daerah seperti Majlis Perbandaran Daerah, agensi keselamatan lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta pihak berkepentingan lain di seluruh negara.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi APBN Mohd Ariff Baharom berkata mesyuarat pengurusan bencana yang dijalankan agensi ini akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa dalam memastikan segala perancangan menghadapi bencana berjalan lancar dan seimbang.

“Kesemua persediaan dijalankan sejak September yang tertumpu kepada aspek mengurus bencana, langkah mengurangkan bencana serta perbincangan mengenai prosedur standard operasi merangkumi aspek persediaan dan tindakan yang perlu dilakukan ketika operasi bencana,” katanya.

Beliau berkata kepada Bernama baru-baru ini di pejabatnya, di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini.

Mohd Ariff yang merupakan bekas Pengarah Operasi Pusat Kawalan Bencana Negara, Majlis Keselamatan Negara berkata agensi itu juga bertindak sebagai pusat tumpuan kebangsaan jika berlaku bencana di negara ini.

“Ini kerana peranan yang dimainkan APBN lebih ke arah penggubalan dasar dalam menyelaras bencana itu sendiri dan bukannya bersifat operasi,” katanya.

Menyentuh mengenai kejadian banjir yang berlaku di beberapa buah negeri seperti Selangor, Perak dan Kedah baru-baru ini, Mohd Ariff berkata masyarakat lebih menumpukan kepada pasukan penyelamat lain tanpa mereka sedari agensi itu adalah tulang belakang utama dalam pengurusan bencana.

Katanya, masyarakat mungkin tidak nampak APBN menjalankan operasi banjir tetapi pihak agensi ada menghantar pegawai kanannya secara bergilir-gilir sejak dua minggu lepas turun padang untuk berbincang bersama pegawai daerah negeri memantau situasi terkini di kawasan yang berisiko banjir di seluruh negara.

“Malah pegawai berkenaan turut pergi ke negeri yang jarang berlaku banjir seperti Melaka dan Pulau Pinang bagi memastikan kerjasama dan penyelarasan bersama agensi terlibat berjalan lancar,” katanya.

Ditanya mengenai keperluan menghantar pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dalam operasi banjir yang berlaku di negeri terjejas baru-baru ini, Mohd Ariff berkata khidmat pasukan itu tidak digunakan memandangkan banjir yang berlaku tidak mencapai tahap bahaya.

“Ini kerana banjir yang berlaku di negeri terjejas tidak buruk dan terkawal manakala aset yang digunakan oleh agensi penyelamat lain juga cukup untuk menampung keperluan bagi mengawal situasi banjir di kawasan itu,” katanya.

Agensi itu yang memulakan operasi secara rasmi pada 1 Okt lepas disokong enam agensi keselamatan utama untuk bencana dengan kira-kira 50,000 anggota iaitu Polis Diraja Malaysia, SMART, Jabatan Bomba dan Penyelamat, JPAM, Jabatan Kesihatan dan Angkatan Tentera Malaysia.

Ia ditubuhkan dengan gandingan dua entiti iaitu Unit Pemulihan Selepas Banjir di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Bahagian Pengurusan Bencana, Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tertakluk kepada Arahan 20 MKN.

Selain bertanggungjawab dalam menguruskan bencana alam, APBN juga memberi respons kepada bencana industri, nahas udara, wabak, jerebu, kegagalan fungsi empangan serta bangunan runtuh. – BERNAMA

Loading...