16 Laporan Polis Kes Penipuan Dalam Talian

PORT DICKSON – Polis menerima 16 laporan dibuat mangsa kes penipuan dalam talian sejak Januari sehingga kini di daerah ini, kata Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt. Aidi Sham Mohamed.

Katanya, daripada jumlah itu, dua laporan melibatkan kes penipuan pembelian secara dalam talian, satu kes penipuan melibatkan pakej pelancongan, manakala selebihnya melibatkan penipuan pelbagai kategori.

“Jumlah kerugian keseluruhan RM99,500. Modus operandi yang selalu digunakan suspek ialah mengiklankan tawaran penjualan barangan yang tidak wujud dalam internet, yang menarik minat mangsa dengan menawarkan barangan pada harga murah atau barangan sukar didapati.

“Mangsa yang berminat akan melakukan pembayaran tanpa mengetahui barangan yang dibeli itu tidak wujud, menyebabkan mangsa mengalami kerugian,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Aidi Sham berkata dalam kes baru-baru ini, terdapat satu kes penipuan pakej pelancongan di mana seorang mangsa wanita terpedaya dalam urusan pakej pelancongan, daripada sebuah syarikat yang mengiklankan pakej melalui Facebook.

“Kejadian penipuan ini bermula sejak tahun 2017 lagi, di mana suspek memperdaya mangsa dengan menawarkan pakej pelancongan ke Eropah dengan harga yang murah.

“Mangsa dan dua orang rakannya yang berminat dengan pakej tersebut telah membuat pembayaran melalui sembilan transaksi yang berjumlah RM12,280 ke dalam akaun syarikat tersebut. Bagaimanapun pengadu dimaklumkan syarikat tersebut kini telah ditutup,” katanya.

Aidi Sham berkata, antara langkah bagi mengelakkan menjadi mangsa kepada penipuan dalam talian ialah dengan membuat pengesahan identiti penjual, semakan akaun bank, testimoni pembeli lain, serta berhati-hati dengan harga yang terlalu murah.

Katanya pihaknya akan mempertingkatkan lagi usaha bagi mendidik dan memaklumkan kepada orang ramai mengenai penipuan sebegini. – BERNAMA

Loading...