152,477 Ditahan, RM161 Juta Dadah Dirampas

KUALA LUMPUR – Seramai 152,477 individu ditahan berkaitan dadah dari awal tahun ini sehingga 2 Okt lepas, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff.
Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 6,138 adalah warga asing termasuk 149 pelajar yang dikesan menyalahgunakan visa pelajar bagi menjalankan aktiviti pengedaran dadah di negara ini.

“Sepanjang tempoh itu juga jumlah dadah yang dirampas bernilai RM161 juta terdiri daripada pelbagai jenis dadah termasuk ganja 2,638 kilogram (kg), syabu 593kg, heroin 33kg, ketamin 56kg, 162,665 pil ekstasi dan 1,812,038 pil Eramin 5.

“Mereka (suspek) menggunakan pelbagai cara termasuk menggunakan perkhidmatan udara, laut dan kurier untuk membawa dadah masuk ke negara ini.

“Kalau dulu dadah dibawa masuk dalam kuantiti besar, sekarang mereka menukar taktik menyeludupnya dalam kuantiti kecil seperti menyorokkannya dalam mainan kanak-kanak, alat penapis air, beg tangan wanita dan sebagainya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada tempoh sama juga katanya, sebanyak 18 makmal dadah dibongkar dan polis merampas 36 pistol, satu pistol semi auto, tiga revolver dan 1,085 peluru.

“Sindiket pengedaran ini memiliki senjata api untuk memudahkan mereka menjalankan aktiviti haram mereka,” katanya.

Mohd Mokhtar juga berkata sepanjang tempoh sama, harta bernilai RM90 juta telah disita manakala harta yang dilucutkan pula sebanyak RM10 juta. – BERNAMA

Loading...