15,000 Jemaah Haji Bakal Berangkat Mulai Sabtu

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines bersedia untuk menerbangkan lebih 15,000 jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini dengan penerbangan pertama dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke Jeddah dan Madinah pada Sabtu ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata sebanyak 80 penerbangan dijadualkan antara Kuala Lumpur dan Jeddah serta Madinah, menggunakan pesawat A380-800.

Malaysia Airlines juga akan mengoperasikan 88 penerbangan pengantara menggunakan pesawat B737-800 bagi membawa 13,200 bakal haji dari Alor Setar, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Bharu, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu ke KLIA.

Menurut kenyataan itu, sebagai persediaan, Malaysia Airlines bersama-sama Lembaga Tabung Haji melatih lebih 400 staf termasuk kru kabin dan teknikal serta petugas darat dan operasi untuk menyediakan perkhidmatan terbaik sepanjang perjalanan bakal haji ke Tanah Suci.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Izham Ismail berkata pesawat A380-800 yang dilengkapi 494 tempat duduk membolehkannya menerbangkan bilangan jemaah yang ramai tanpa menjejaskan keselesaan mereka.

“Bakal haji kita biasanya adalah warga emas. Bagi sesetengah, ini mungkin kali pertama mereka menaiki kapal terbang atau mengembara ke luar Malaysia. Ini boleh memberikan tekanan kepada bakal haji, justeru rasa selesa itu amat penting bagi mereka.

“Malaysia Airlines berusaha menyediakan keselesaan untuk jemaah haji sebaik sahaja mereka menaiki pesawat kami dan hospitaliti kami akan membuatkan mereka berasa seperti berada di rumah. Staf darat dan kru terlatih kami mempunyai pengalaman yang cukup untuk memenuhi keperluan jemaah haji bagi memastikan mereka dijaga sebaiknya dan menikmati perjalanan yang terbaik,” katanya.

Penerbangan haji terakhir ke Tanah Suci akan berlepas dari KLIA pada 15 Ogos ini manakala fasa kedua operasi akan bermula pada 29 Ogos dan tamat pada 25 Sept, demikian menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Loading...