15 Lokasi Kemalangan Maut Dikenal Pasti Di Perak

BUKIT GANTANG – Lima belas lokasi panas dikenal pasti sebagai kawasan kemalangan maut di Perak sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina 2019, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari.

Beliau berkata, lokasi panas tersebut terletak di semua 12 daerah di Perak kecuali Kerian melibatkan Jalan Persekutuan, Jalan Bandaran, Jalan Negeri dan Lebuh Raya Utara-Selatan.

Katanya statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak menunjukkan, sebanyak 37,035 kes kemalangan jalan raya dilaporkan pada tahun 2018 berbanding 38,587 kes pada 2017.

“Angka ini menunjukkan penurunan sebanyak 1,552 kes manakala kematian menurun kepada 689 kes pada tahun 2018 berbanding 711 pada tahun 2017,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Tahun Baru Cina peringkat negeri di kawasan Rehat dan Rawat Bukit Gantang arah utara di sini hari ini.

Abdul Yunus berkata, bagi mengurangkan kemalangan maut, seramai 1,200 pegawai dan anggota penguat kuasa terdiri daripada polis, Jabatan Pengangkutan Jalan serta agensi sokongan lain bertugas sepanjang tempoh operasi yang bermula 29 Januari hingga 12 Februari ini. – BERNAMA

Loading...