13 Warga Myanmar, Pemandu Van Thailand Rentung

BANGKOK – Tiga belas pekerja migran warga Myanmar dan seorang pemandu van warga Thailand maut apabila kenderaan yang dinaiki terbakar selepas melanggar sebuah lori 10 tayar di wilayah Singburi, 140km utara ibu kota Bangkok.

Menurut pegawai polis di Mueng wilayah Singburi, ketika dihubungi Bernama hari ini, kemalangan yang mengorbankan lapan wanita dan enam lelaki itu berlaku pada 2.30 pagi (waktu tempatan).

“Berikutan perlanggaran itu, van tersebut terbakar menyebabkan semua mangsa rentung,” katanya dan menambah van berkenaan dari arah bandar Mae Sot, berhampiran sempadan Thailand-Myanmar.

Pemandu lori itu yang terselamat dalam insiden berkenaan memberitahu penyiasat polis, van tersebut melanggar kenderaannya dari belakang dan terus terbakar.

Beliau berkata siasatan kes kemalangan itu masih dijalankan dan pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan insiden tersebut tampil memberi maklumat.

Ramai pekerja migran dari Myanmar bekerja di Thailand terutama dalam sektor pembinaan, pertanian dan perikanan. – BERNAMA