11 Nelayan Hanyut Diselamatkan Di Pulau Tiga

LABUAN – Sebelas nelayan tempatan yang hanyut dua hari lalu berjaya diselamatkan oleh bot nelayan lain di perairan berhampiran Pulau Tiga, Sabah.

Kesemua nelayan yang berumur dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun itu belayar dari jeti Kuala Penyu pada Sabtu lepas kira-kira pukul 9 pagi dan memulakan aktiviti menangkap ikan lebih kurang 47 batu nautika dari Pulau Tiga.

Walaubagaimanapun enjin kapal mereka mengalami kerosakan dan dihanyutkan oleh ombak selepas beberapa jam berada di kawasan mereka memancing.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Labuan, Kepten Maritim Che Adnan Md Isa berkata mereka menerima laporan kehilangan kapal memancing itu oleh pemiliknya pada lebih kurang 10.40 malam Ahad.

“Kami melancarkan operasi mencari di perairan tersebut menggunakan bot peronda dan pesawat ringan jenis Cessna pada jam 7 pagi tadi dan dimaklumkan sebuah bot nelayan lain telah menyelamatkan mereka dan menunda kapal mereka ke jeti Kuala Penyu pada jam lebih kurang 9 pagi tadi,” katanya.

Che Adnan mengingatkan pemancing dan nelayan agar sentiasa memastkan keadaan kapal dan enjin kapal berada dalam keadaan baik sebelum memulakan aktiviti memancing. – BERNAMA

Loading...