100% Pelajar Ke Sekolah Rendah, Menengah 2030

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak mempunyai masalah untuk mencapai sasaran semua kanak-kanak mendapat pendidikan sekolah rendah menjelang 2030, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata pada masa ini, kadar kemasukan murid sekolah rendah ialah sebanyak 96 peratus, malah sasaran 100 peratus itu mungkin boleh dicapai lebih awal.

Namun, katanya Malaysia perlu melihat cabaran untuk mencapai 100 peratus kemasukan pelajar ke sekolah menengah memandangkan kadar yang dicapai sekarang ialah 86 peratus.

“Bagi sekolah rendah, kita tidak mempunyai masalah. Namun bagi sekolah menengah, kita kena lihat kepada pendidikan Teknikal, Vokasional dan latihan (TVET) yang berdasarkan minat.

“TVET akan menjadi pengubahnya kerana kita tawarkan pelbagai kursus dan ini boleh mendorong kepada peningkatan kadar kemasukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran dan Simposium Education 2030 di sini, hari ini.

Malaysia, kata Mahdzir, komited untuk mencapai sasaran tersebut seperti yang ditetapkan Education 2030, agenda utama pendidikan di peringkat global yang digariskan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam mencapai pembangunan mampan.

Agenda Education 2030 antara lain merangkumi peningkatan akses kepada pendidikan yang berkualiti di peringkat pendidikan awal kanak-kanak, pra-sekolah, rendah dan menengah; teknikal dan vokasional serta pengajian tinggi; kesaksamaan gender; kehidupan lestari dan kewarganegaraan global.

Mahdzir berkata akses kepada pendidikan di Sabah dan Sarawak turut dinilai dalam pelaksanaan Education 2030 di Malaysia.

“Kita nak lihat sama ada semua etnik di Sabah dan Sarawak mendapat pendidikan formal. Bagaimanapun, ada kawasan di Sarawak jauh di pedalaman dan ambil masa dua hingga tiga hari untuk ke sekolah. Jadi, kita kena fikir bagaimana untuk tangani masalah ini,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan pembukaannya, Mahdzir berkata: “Perubahan positif telah dibuat di peringkat awal kelas, dalam ilmu pendidikan, latihan guru, reka bentuk kurikulum dan kokurikulum; dalam prosedur penilaian dan sebagainya.

“Kami mahu meningkatkan usaha untuk menyediakan pendidikan yang lebih universal dan fleksibel.” – BERNAMA

Loading...