10 Guru Korea Mengajar Di Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Sepuluh guru dari Republik Korea dipilih untuk mengajar di lima sekolah di negeri ini menerusi Program Pertukaran Guru Korea-Malaysia 2018 (KOMTEP 2018).

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang Mohd Jamil Mohamed berkata guru tersebut akan mengajar beberapa mata pelajaran antaranya Sains Sosial, Bahasa Inggeris, Muzik dan Pendidikan Seni selama tiga bulan.

“Kami harap dengan pertukaran ini guru-guru kita akan dapat menimba pengalaman. Seperti sebelumnya, guru kita yang berpengalaman mengajar di Korea dan apabila balik ke sini mereka akan sebar luaskan pengetahuan kepada guru-guru lain. Selain itu, kita akan mengembangkan bahasa Korea sebagai satu daripada bahasa ketiga yang perlu dipelajari murid,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis sambutan delegasi Pusat Pendidikan Asia-Pasifik bagi Persefahaman Antarabangsa UNESCO (APCEIU) dan penyerahan guru-guru Korea bagi KOMTEP 2018, di sini hari ini.

Katanya guru dari Korea itu akan ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sri Mutiara, Sekolah Kebangsaan Jelutong, Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas, Sekolah Kebangsaan Seri Permai dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Shang Wu.

Beliau berkata untuk tujuan sama, seramai 10 guru dari Malaysia akan dihantar ke Republik Korea pada September ini.

Sementara itu, pengurus program KOMTEP 2018, [email protected] Abu Hasan berkata permohonan yang diterima bagi program tersebut sentiasa tinggi hingga mencapai 1,000 permohonan setiap kali tawaran dibuka.

Beliau berkata program seumpama itu turut menarik minat pelajar di sini yang dilihat sangat bersemangat belajar bersama guru berkenaan di samping mempelajari bahasa Korea.

Berkongsi rasa dengan pemberita, seorang guru dari Korea Yea Seul, 27, melahirkan rasa teruja dapat berkhidmat dan mengajar di negara ini.

Guru yang akan mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris, Muzik dan Pendidikan Seni serta baharu pertama kali datang ke Malaysia berkata beliau rasa terharu apabila dipilih untuk program ini dan tidak sabar untuk memulakan sesi pengajaran. – BERNAMA