​​​​​​Rampasan Daun Ketum Semakin Meningkat – Polis

KANGAR – Rampasan daun ketum terutama di negeri sebelah utara semakin meningkat dan membimbangkan, kata Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Risikan dan Operasi (JSJN) Polis Diraja Malaysia, Datuk Kang Chez Chiang.

Beliau berkata pihak polis merampas 117 tan daun dan air ketum bernilai lebih RM3.5 juta sejak 2012 hingga penghujung bulan lepas, yang menunjukkan rampasannya meningkat mendadak setiap tahun.

“Sepanjang tahun 2012, polis merampas hanya lima tan daun ketum. Kemudian angka itu meningkat kepada lapan tan pada 2013, 16 tan (2014), 29 tan (2015) dan 44 tan (2016).

“Sehingga April ini sahaja, sudah 15 tan dirampas di mana yang terbaru ialah pada 29 April lalu iaitu hampir satu tan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Kang berkata hasil siasatan mendapati sebahagian besar daun ketum yang masih belum diproses cuba diseludup masuk ke Thailand yang permintaan dan nilai pasaran daun ketum di negara itu adalah lebih tinggi.

Menurutnya, harga pasaran bagi satu kilogram daun ketum di Malaysia ialah RM30 berbanding di Thailand yang harganya tiga kali ganda lebih mahal.

Mengenai rampasan terbaharu pada 29 April itu, Kang berkata seramai 18 lelaki termasuk empat warga Thailand berusia antara 19 hingga 36 tahun ditahan dalam tiga operasi di sekitar Padang Besar.

“Operasi bermula 2 hingga 5 pagi itu disertai JSJN Bukit Aman, Pasukan Khas Taktikal Risikan Narkotik (STING) dan JSJN IPK Perlis telah merampas 33 guni berisi 990kg daun ketum dan 17kg air ketum di dalam 54 bungkusan plastik selain 290 botol ubat batuk bernilai RM25,000,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Racun 1952 dan kesemua suspek ditahan reman sehingga esok.

Beliau berkata sejak tahun 2012 hingga April lalu, seramai 16,523 individu termasuk warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan ketum.

Dalam pada itu Kang turut tidak menolak kemungkinan kumpulan penyeludup bertindak lebih agresif dalam melakukan aktiviti mereka memandangkan operasi risikan yang diperhebat dari semasa ke semasa.

“Buat masa ini kita dapati aktiviti penyeludupan dilakukan secara berkumpulan dan tidak melibatkan sindiket terancang berskala besar yang menggunakan senjata api, tetapi polis sentiasa siap siaga dalam membanteras jenayah ini serta berhadapan sebarang kemungkinan,” tambahnya. – BERNAMA

Loading...