Olimpik 2016: Najib Ucap Tahniah Kepada Pandelela

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg, atlet pertama negara yang layak ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro.

Pandelela, 22; atlet berasal dari Sarawak, layak ke temasya Olimpik musim panas itu selepas mara ke pusingan akhir acara 10 meter platform wanita di Kejohanan Akuatik Dunia di Kazan, Rusia semalam.

“Tahniah kpd (kepada) @Pandelela_R atas kemenangan pingat gangsa di Kejohanan Akuatik Dunia dan menjadi atlet pertama Msia yg layak ke SukanOlimpik2016,” kata Najib dalam akaun Twitternya hari ini.

Pandelela meraih pingat gangsa dalam acara kegemarannya 10 meter platform wanita di Kejohanan Akuatik Dunia di Kazan, Rusia awal hari ini.

Pandelela menampilkan aksi konsisten dalam empat daripada lima terjunannya untuk membolehkan Malaysia mengutip pingat pertama acara individu kejohanan itu.

Berdasarkan rekod, Pandelela pernah memenangi dua pingat gangsa di Kejohanan Dunia ketika berganding dengan Leong Mun Yee dalam acara 10m platform seirama di Rom, Itali pada 2009 dan Barcelona, Sepanyol 2013. – BERNAMA

Loading...