Raih Gangsa, Najib Ucap Tahniah Kepada Azizulhasni

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada pelumba elit negara, Azizul Hasni Awang atas kejayaan meraih pingat gangsa pada saingan akhir acara keirin, Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2016 di Lee Valley Velopark, Stratford, London, semalam.

“Tahniah ‪#‎thepocketrocketman‬ Azizulhasni Awang berjaya raih gangsa dalam acara keirin Kejohanan Trek Dunia London 2016.

“Teruskan usaha untuk Olimpik Rio kelak, rakyat Malaysia akan sentiasa menyokong!,” katanya dalam catatan terbaru di laman Facebooknya hari ini.

Najib berkata beliau difahamkan walaupun dihimpit dua pemain semasa pusingan pertama sehingga terpaksa berlumba dalam pusingan ‘repecharge’, Azizulhasni tetap berjaya mara ke peringkat akhir dan membawa pulang gangsa untuk Malaysia.

Beliau mengalahkan pelumba Andre Vinokourov (Ukraine), Jacob Schmid (Australia) dan Hersony Canelon (Venezuela) dalam pusingan ‘repecharge’.

Pelumba ranking nombor satu dunia keirin itu, kemudian berjaya meraih tempat ke peringkat akhir selepas berada di kedudukan kedua dalam saringan kedua separuh akhir kedua.

Pingat emas acara itu dimenangi pelumba Jerman, Joachim Eiler dan pingat perak milik pelumba dari New Zealand, Eddie Dawkins.

Azizulhasni telahpun melayakkan diri dalam acara keirin ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro selepas berada di kedudukan teratas Asia. – BERNAMA

Loading...