Seleweng RM107 Juta, Khairy Sahkan Pegawai KBS Terlibat

PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini mengesahkan pegawai kementeriannya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penyelewengan.

Katanya, beliau telah dimaklumkan SPRM beberapa minggu lepas tentang siasatan yang dijalankan terhadap pegawai tersebut.

Khairy dalam sidang media berhubung perkara itu berkata KBS akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM supaya siasatan itu dapat dijalankan dengan pantas dan menyeluruh.

“KBS menyerahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan,” katanya.

SPRM Tahan Pegawai Kanan Seleweng Dana RM100 Juta

SPRM Jumaat lepas menahan seorang setiausaha bahagian di kementerian itu selepas disyaki terlibat mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta.

Modus operandi sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak 2010 ialah menggunakan bahagian kewangan agensi di kementerian membuat bayaran kepada 14 syarikat bagi tujuan menjayakan program berkaitan acara sukan.

Katanya siasatan dalaman KBS mengenal pasti beberapa kelemahan yang menyebabkan berlakunya penyelewengan, antaranya selama beberapa tahun, pegawai berkenaan menyalahgunakan prosedur yang tidak memerlukan kelulusan atau pengesahan pihak atasan termasuk menteri dan ketua setiausaha kementerian.

Khairy berkata satu pasukan siasatan bebas akan ditubuhkan untuk membuat semakan segera terhadap mekanisme dalaman dan proses tadbir urus berkaitan penyaluran dana di KBS.

Katanya beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa berhubung penubuhan pasukan siasatan bebas untuk mengenal pasti kelompongan dan menambah baik prosedur kewangan dalaman KBS.

Pasukan siasatan bebas itu akan dilantik KSN dan ia tidak akan melibatkan pegawai dari KBS bagi memastikan tiada kepentingan diri dalam siasatan yang bakal dijalankan, katanya.

“Objektif utama pasukan ini adalah untuk memperbaiki kelemahan proses dalaman yang boleh menjurus kepada penyelewengan dana awam,” katanya, sambil menambah KBS mengalu-alukan cadangan yang bakal dikemukakan pasukan siasatan bebas itu.

Ditanya sama ada KBS akan mengkaji semula projek dan program di bawah kementerian ekoran kes berkenaan, Khairy berkata kes penyelewengan itu hanya khusus kepada bentuk peruntukan yang tidak melibatkan projek pembangunan setakat ini.

“Projek dan program pembangunan yang tidak melibatkan kelulusan peruntukan yang digunakan dalam kes ini, akan terus berjalan seperti biasa, tetapi kalau pasukan bebas perlu melihat kepada semua prosedur kelulusan KBS, kami sedia untuk bekerjasama dengan pasukan itu,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan dana penyelewengan itu disalurkan kepada Majlis Sukan Negara, Khairy berkata ia masih dalam siasatan SPRM.

Khairy memuji tindakan pantas SPRM dalam kes berkenaan bagi mengelakkan ketirisan berlaku dalam kerajaan serta memberi keyakinan kepada orang awam tiada siapa dilindungi daripada siasatan SPRM.

“Walaupun ini bukan satu berita baik bagi kementerian saya, tetapi saya lihat tindakan SPRM membuat siasatan cepat dan menyeluruh adalah tindakan bagus bagi mengelakkan penyelewengan dan rasuah berlaku,” katanya. – BERNAMA

Loading...