Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Pengamal Perubatan Tradisional Didakwa...

TELUK INTAN - Seorang pengamal perubatan tradisional mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret...

Acara Pecut Berpasukan Ada...

SEPANG - Pelumba negara mempunyai peluang untuk beraksi dalam acara pecut berpasukan di...

Kedai Roti Lingkup Pun...

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sebut nama kedai roti itu,...

Khairul Hafiz Harap Kekal...

KUALA LUMPUR – Pelari terpantas Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan mahu menggunakan Kejohanan...

JDT Benam Kedah 2-0 Muncul Juara Piala Malaysia 2017

SHAH ALAM – Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan kemarau 26 tahun selepas menjulang Piala Malaysia 2017 dengan menundukkan Kedah 2-0 dalam perlawanan akhir lewat Sabtu.

Dalam perlawanan dramatik berlangsung di Stadium Shah Alam di sini, juara bertahan skuad Helang Merah gagal mengulangi kejayaan menumbangkan pasukan Selangor tahun lalu menerusi penentuan penalti setelah terikat 1-1.

Pasukan kelab Harimau Selatan itu sebaliknya bermula garang selepas memperoleh gol pertama seawal minit ke-2 hasil tandukan oleh pemain pertahanannya, Mohamad Aidil Zafuan Razak.

Apabila babak kedua bermula kembali, JDT menggandakan asakan dan gawang Kedah dirobek sekali lagi pada minit ke-62 menerusi jaringan pemain import dari Argentina, Gonzalo Cabrera.

Sebaik wisel penamat masa tambahan 4 minit ditiupkan pengadil perlawanan berkenaan, keputusan penuh menyaksikan JDT kekal dua gol berbanding Kedah pula pulang hampa tanpa jaringan.

Pasukan Johor pernah muncul juara pada 1985 dan 1991. Namun JDT pula merupakan penjenamaan semula kelab bola sepak Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ) ditubuhkan pada 1972.

Gelaran terkini itu melengkapkan kabinet trofi JDT sejak ditubuh pada 2013 selepas rangkul juara Liga Super 2014, 2015, 2016 dan 2017, Piala FA 2016, Piala Sumbangsih 2015 dan 2016 serta Piala AFC 2015.

Final yang disaksikan 80,000 penyokong ibarat pertemuan buku dengan ruas apabila JDT mahu memburu gelaran kedua musim ini selepas meraih kejuaraan Liga Super kali keempat berturut-turut.

Helang Merah pula cuba mengintai trofi ketiga selepas menewaskan JDT bagi misi perebutan Piala Sumbangsih sebelum menjulang Piala FA dengan mengecewakan Pahang 3-2 pada final.

Mohamad Aidil Zafuan Razak

Bagaimanapun Kedah yang dibimbing Nidzam Adzha Yusoff tersentak dengan gol seawal minit ketiga menerusi tandukan pemain pertahanan Aidil berikutan sepakan sudut kapten Safiq Rahim.


Strategi jurulatih JDT, Ulisses Morais memasukkan Hazwan Bakri mengambil tempat penjaring terbanyak Liga Super, Mohammed Ghaddar ternyata memberi impak besar.

Hazwan, wira Piala Malaysia Selangor pada 2015, mencipta peluang kepada Natxo Insa dan Gabriel Guerra namun ketangkasan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim berjaya menyelamatkan keadaan.

Satu-satunya peluang terbaik dicipta Kedah hadir pada minit ke-26 namun tolakan penyerang Ken Ilso selepas penjaga gol Izham Tarmizi Roslan menerpa keluar berjaya dikeluarkan S Kunanlan.

Kedah yang memburu kejuaraan keenam selepas 1990, 1993, 2007, 2008 dan 2016 mula asak pada babak kedua dan hampir menyamakan kedudukan namun tandukan Baddrol Bakhtiar sekadar singgah di palang.

Namun anak buah Morais menyentap semangat lawan dengan gol kedua pada minit ke-63 apabila pemain import Cabrera yang menerima hantara Hazwan melepaskan sepakan menewaskan Ifwat.

Tuah ternyata bukan milik Kedah apabila tandukan Baddrol pada minit ke-67 terkena tiang gawang JDT dan terus gagal mencari gol ketika masa kecederaan tambahan selama empat minit lagi.

Kemenangan sulung ini beri kegembiraan buat JDT yang kecewa tewas pada final 2014 kepada Pahang menerusi penentuan sepakan penalti 3-5 selepas aksi terikat 2-2. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Kategori