Daging Phad Kra Pao Yang Emm Dapnye!

Phad kra pao gai atau daging cincang pedas merupakan salah satu hidangan istimewa masyarakat Selatan Thailand.

Ia bukan sahaja menyelerakan, malah mudah dan cepat disediakan.

Hidangan ini enak dinikmati bersama nasi panas atau dengan daun salad segar bagi mereka yang mahukan alternatif yang lebih sihat.

Kualiti protein yang digunakan untuk menyediakan phad kra pao ini haruslah segar bagi megekalkan keaslian rasanya. Secara tradisionalnya,hidangan ini menggunakan daging atau ayam cincang dan digoreng secara ‘stir-fry’ bersama daun selasih Thai atau Thai holy basil leaf, namun boleh juga digantikan dengan makanan laut atau cendawan enoki sebagai variasi.

Bahan-Bahan:

200g daging cincang
5 ulas bawang putih
4 biji cili api
1 sudu besar minyak masak
1 sudu kecil kicap cair
½ sudu besar gula pasir
1 sudu kecil kicap masin
6 helai daun selasih Thai

Kaedah:

1. Tumbuk lumat bawang putih dan cili api di dalam lesung batu, atau kisar menggunakan blender tidak terlalu hancur.
2. Panaskan kuali beserta 1 sudu minyak masak. Tumis pes bawang putih dan cili api selama 20 saat sehingga naik bau.
3. Masukkan daging cincang dan kacau sehingga hampir masak,selama 2-3 minit.
4. Jika daging kelihatan terlalu kering, tambahkan beberapa sudu air.
5. Kemudian, masukkan sos tiram, kicap cair dan kicap masin, kacau berterusan sehingga sebati.
6. Akhir sekali, kecilkan api dan tambahkan daun selasih Thai dan goreng-kacau sehingga lembut.
7. Daging phad ka pao sudah boleh diangkat dan siap untuk dimakan, hmmm dapnye!

Sumber: Sara Khalid