Zahid Akui Hubungi Muhyiddin, Jamin Tidak Tangkap

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan tiada waran tangkap dikenakan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menyelar tindakan individu yang menyebarkan khabar angin tidak berasas.

Pada masa yang sama, beliau turut menyifatkan khabar angin tersebut sebagai ‘sampah’ dan tiada ada sebab wajar untuk bekas timbalan perdana menteri itu ditangkap.

“Saya menerima banyak panggilan daripada mereka yang prihatin bertanya sama ada benar atau tidak bekas timbalan perdana menteri akan ditangkap. Saya memberi jaminan kepada mereka bahawa beliau tidak ditangkap.

“Khabar angin ini benar-benar tidak masuk akal. Saya telah meminta Peguam Negara dan Ketua Polis Negara untuk mengesahkan dakwaan itu, mereka juga menafikannya.

“Saya kemudian menghubungi Tan Sri (Muhyiddin) secara peribadi pada pukul 2 pagi (semalam) untuk memastikan bahawa polis tidak menahan dia dan isterinya,” katanya kepada The Star.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang menyebarkan khabar angin yang berniat jahat itu.

Khabar angin itu tersebar meluas pada Rabu lepas mendakwa Muhyiddin akan ditangkap selepas beliau digugurkan daripada senarai anggota Kabinet.

Isu menjadi lebih sensasi ekoran rakaman video Muhyiddin bersama beberapa orang, termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berbual mengenai isu 1Malaysia Development (1MDB ) tersebar. – MYNEWSHUB.CC

Oleh: CARRIE

Sumber: mStar Online

Loading...