Yang Dipertua Negeri Melaka Mengundi Di Bukit Baru

MELAKA – Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob hadir mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru di sini hari ini.

Mohd Khalil yang memakai baju kemeja lengan pendek berwarna oren tiba kira-kira 11 pagi diiringi oleh Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Jalil Hassan dan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Melaka, Haelmy Mohd Hanifah.

Mohd Khalil yang mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil dan Parlimen Hang Tuah Jaya turut meluangkan masa selama kira-kira 15 minit untuk mengundi, kemudian beramah mesra dan bersalaman dengan pengundi di sekolah tersebut.

DUN Bukit Katil menyaksikan pertembungan tiga penjuru daripada penampilan muka baharu oleh calon Barisan Nasional (BN) iaitu Yunus Hitam, Pengerusi Amanah Melaka Adly Zahari (PKR-Amanah) dan Muhamat Puhat Bedol (PAS).

Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam (BN) dan Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR) mengulangi pertarungan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 selepas masing-masing dicalonkan semula, Dr Md Khalid Kassim (PAS) melengkapkan saingan tiga penjuru di kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya.

Parlimen Hang Tuah Jaya mempunyai 89,364 pengundi. – BERNAMA

*Video sekadar hiasan…

Loading...