Waytha Cadang Selesai Masalah Pembalakan Haram

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy bercadang mengadakan perjumpaan dengan pelbagai pihak bagi mencari penyelesaian terhadap masalah pembalakan haram di perkampungan Orang Asli, Kampung Tasik Cunex di Gerik, Perak.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Datuk Ajis Sitin yang berkata pertemuan akan diadakan dalam masa terdekat.

Sehubungan itu katanya Jakoa mencadangkan agar aktiviti pembalakan di kawasan terbabit ditangguhkan.

“Saya ingin menegaskan bahawa Jakoa sangat mengambil berat mengenai kebajikan masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

“Pelbagai usaha dan kerjasama dengan jabatan, agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan sentiasa dilakukan demi memastikan masyarakat Orang Asli mendapat bantuan kebajikan yang mencukupi,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, sebuah portal berita dengan laporan bertajuk “Orang Asli Perak Diugut Selepas Buat Sekatan Halang Pembalakan” antara lain menyatakan penduduk Orang Asli Kampung Tasik Cunex telah membuat sekatan di laluan utama lori balak sebagai bantahan terhadap aktiviti pembalakan yang didakwa menceroboh tanah adat mereka. – BERNAMA

Loading...