Warisan Tak Iktiraf Kerajaan Baharu Sabah – Shafie

KOTA KINABALU – Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak mengiktiraf kerajaan Sabah yang dibentuk malam semalam sebagai kerajaan yang sahih, kata Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata ini kerana penubuhan kerajaan baharu yang diterajui Barisan Nasional (BN) Sabah melalui Tan Sri Musa Aman itu tidak mendapat kuasa mutlak untuk membentuk kerajaan negeri itu.

“Kerajaan yang dibentuk semalam itu tidak mempunyai jumlah (kerusi Dewan Undangan Negeri) yang cukup. Saya tahu Parti Pertubuhan Pasokmmogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) telahpun menyatakan pendirian mereka (bergabung dengan Warisan).

“Saya juga telah menghantar surat kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin mengenai perkara ini (sokongan UPKO terhadap Warisan) dan kita mempunyai jumlah yang cukup (untuk membentuk kerajaan Sabah),” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata Pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan beberapa lagi pemimpin parti itu menyatakan bahawa mereka telah keluar BN dan tiada pakatan dengan Musa.

Semalam Madius menemui Mohd Shafie di kediamannya di sini sebelum mengadakan sidang media mengumumkan keputusan UPKO keluar daripada BN dan membentuk kerajaan campuran dengan Warisan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Rabu lalu, UPKO menang lima kerusi DUN dan satu kawasan Parlimen.

Bagaimanapun kelima-lima wakil DUN parti itu — Ewon Benedict (Kadamaian), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Bobbey Ah Fan Bin Suan (Nabawan), Datuk Masiung Banah (Kuamut) dan Datuk Limus Juri (Kuala Penyu) — dilapor tidak akan menyertai pucuk pimpinan UPKO untuk membentuk kerajaan dengan Warisan.

Semalam Parti Solidariti Tanah Airku (Star) menyatakan pendirian untuk bersama dengan BN menjadikan jumlah DUN parti gabungan itu bertambah kepada 31 kerusi.

Musa yang Pengerusi BN malam tadi mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri sekali gus menubuhkan kerajaan negeri campuran baharu dengan Star.

Keputusan PRU14 menyaksikan BN Sabah memperoleh 29 kerusi, Parti Warisan (21), DAP (6) dan PKR (2). – BERNAMA

Loading...