VIDEO : Presiden PAS Akhirnya Buka Mulut Jelas Isu MB

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini difahamkan sudah mula memberi penjelasan berkenaan isu sebenar berkaitan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada orang ramai dan ahli PAS.

Semenjak mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos apabila PAS membuat keputusan memberikan dua nama untuk jawatan itu iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya Mohamed Azmin Ali, Abdul Hadi dilihat mula berdiam diri.

Pada sidang media selepas mesyuarat itu pada hari yang sama pun, Abdul Hadi tidak memberikan kenyataan kepada media sebaliknya Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang bertemu dengan wartawan.

Kini, Abdul Hadi sebagai Presiden PAS mula bergerak dengan mencalonkan tiga nama untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor dan dikatakan dua dari PKR dan seorang dari PAS.

Cakap-cakap menyebut nama-nama berkenaan ialah Dr Wan Azizah, Azmin dan Exco Negeri Selangor Iskandar Abdul Samad.

Bagaimanapun dalam satu Majlis Dialog Dan Penjelasan Isu oleh Abdul Hadi di Rusila, Marang, Terengganu, beliau akhirnya membuka mulut dan menjelaskan segala-galanya.

Dalam satu video dimuatnaik di laman YouTube hari ini, beliau menjelaskan segala-galanya berkenaan isu itu dan kenapa PAS menolak Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor.

Menurut Abdul Hadi, kemelut yang berlaku dalam negeri Selangor yang membabitkan PAS adalah hanya sekelumit isu berbanding isu besar yang pernah dihadapi parti itu ketika mula-mula ditubuhkan dulu.

“Masalah yang berlaku di negeri Selangor bukan masalah kita, ia adalah masalah yang dibuat rakan kita yang kita terpaksa menolong untuk memikulnya,” kata Abdul Hadi dalam majlis itu.

Beliau berkata PAS telah membuat keputusan untuk menyerahkan kerajaan negeri Selangor untuk dipimpin oleh PKR iaitu sebuah parti rakan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR).

“PKR telah berjaya memerintah satu penggal, kerajaan yang bersih dan tiada ruang bagi kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) untuk menghentam kerana tidak ada kesilapan dan kesalahan.

“Tiba-tiba dijadikan masalah, mula-mula dikatakan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kedekut, bakhil, payah bagi duit.

“Saya jumpa beliau, dia kata duit negeri Selangor bukan duit saya, itu duit rakyat. Saya tak boleh keluarkan duit itu dengan sewenang-wenang, mesti mengikut peraturannya,” kata Abdul Hadi.

Abdul Khalid MB Amanah Di Selangor

PAS memilih untuk menyokong dan memilih Abdul Khalid sebagai Menteri Besar kerana sifat amanahnya kerana sifat itu sangat penting dalam tugas memerintah sesebuah kerajaan negeri, katanya.

Kemudian, Abdul Hadi berkata Abdul Khalid dituduh dengan pelbagai tuduhan berkaitan hutang dan masalah air yang dilaporkan secara meluas di media sehingga memaksa beliau mengadakan dialog dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen untuk menjawab tuduhan berkenaan.

“Diputuskan supaya Abdul Khalid dihadapkan ke hadapan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang dibuat pada malam Jumaat yang menyukarkan saya kerana ada mengajar kuliah. Saya terpaksa pergi ke Kuala Lumpur untuk menjadi ahli panel yang memperlihatkan PAS (3 wakil) PKR (3 wakil) dan DAP (3 wakil).

“Daripada PAS diwakili oleh Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali, Naib Presiden Salahuddin Ayub dan saya; dari PKR ialah Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution dan Pengarah Strategi Rafizi Ramli; dari DAP ialah Penasihat Lim Kit Siang, Tony Pua dan Anthony Loke berdepan Abdul Khalid.

“Dikemukakan soalan-soalan yang Abdul Khalid boleh jawab soalan itu, semua soalan dijawab,” katanya.

Menurut Abdul Hadi, semua ahli panel bersetuju dengan jawapan Abdul Khalid dan mereka berpendapatan Abdul Khalid perlu dibantu untuk menyelesaikan masalah Selangor.

Kejutan Untuk Kosongkan Kerusi Di Kajang

Beliau berkata tiba-tiba PAS dikejutkan apabila ada permintaan untuk mengosongkan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kajang yang disandang oleh PR.

“Kita (PAS) diberitahu, tak ada mesyuarat pun sedar-sedar diberitahu dan kita tidak setuju.. Ini bukan cara dia. Pilihan raya dah lepas, rakyat baru lagi masuk pilihan raya.. Ini tak betul.

“Dan dibuat keputusan untuk adakan pilihan raya, oleh kerana kita sama-sama dalam PR, kita kerahlah anak-anak buah kita bekerja pergilah kempen dan menang calon.

“PAS telah membuat resolusi, PAS akan ikut pilihan raya di Kajang dan akan bekerja, masalah siapa Menteri Besar tidak akan berbangkit,” katanya mendedahkan keputusan PAS.

Selepas beberapa hari, Abdul Hadi berkata timbul pula masalah hendak menukar Menteri Besar Selangor dan mula tersebar surat dan tuduhan ke atas Abdul Khalid.

“Kita sebagai sebuah parti Islam mesti tuduhan itu diolah dengan adil, kalau tak diolah dengan adil nak hukum begitu sahaja, zalim kita.

“Maka berlakulah krisis yang berikut dicalonkan, di mana Majlis Syura Ulama tidak setuju dengan calon (Dr Wan Azizah) itu kerana bercanggah dengan hukum Islam,” kata Abdul Hadi.

Calon Menteri Besar Mesti Ikut Syarat Dalam Islam

Dalam soal pemilihan Menteri Besar, dalam Islam calon mestilah layak memikul jawatan ketua kerajaan.

“Dalam hadis Nabi Muhammad, barangsiapa yang mewakilkan urusan orang Islam dia melantik seseorang memegang jawatan bukan kerana kelayakan dia tetapi kerana kecenderungan dia bukan kerana kebolehan dia, Allah tidak menerima tebusan duit selain dimasukkan ke Neraka Jahanam, orang PAS sanggup ke?

“Sebab itu kita parti Islam, kita tidak boleh terima, maka berlakulah pergolakan sehingga hari ini,” katanya.

Abdul Hadi berkata PAS sentiasa berpegang bahawa PR berpijak di atas asas-asas yang termaktub di dalam Perlembagaan yang pertama Mendukung Demokrasi, Memegang Konsep dan Prinsip Islam Agama Persekutuan dan Raja Berperlembagaan.

Ada Puak PAS Mahu Buat Raja Seperti Tunggul Kayu

Bagaimanapun Abdul Hadi berkata ada puak di dalam PAS yang mahu menjadikan Raja seperti tiada fungsi dan seperti tunggul kayu.

“Tetapi ada kalangan puak-puak kita ini, nak buat Raja macam tunggul kayu, itu tidak boleh.

“Kita tidak boleh letak raja, hodoh macam mana pun untuk diletakkan macam tunggul kayu, tidak boleh,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, Abdul Hadi memetik satu lagi hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebut setiap manusia ada peranan dan fungsinya seperti dalam satu bahtera atau kapal.

“Nabi bersabda, kamu adalah laksana berada dalam satu bahtera ada orang yang duduk di petak atas dan ada yang duduk di petak yang bawah lalu orang yang duduk di petak bawah ini bermasalah dengan mereka yang di petak yang atas.

“Lalu orang yang petak bawah kata, kalau nak cepat dapat air kita ambil kapak tebuk kapal ini, dapat air cepat kapal pun tenggelam habis mati semua.

“Ataupun kita sabar, jangan tebuk kapal itu, semuanya akan selamat yang duduk petak atas pun selamat yang duduk petak bawah pun selamat,” katanya

Abdul Hadi mahu PAS menjaga ahli-ahli dari parti itu jangan ada yang apabila ada gelombang kuat mereka inilah yang akan menebuk kapal atau bahtera PAS demi kepentingan mereka. – MYNEWSHUB

Oleh : IBNU K

Leave a Reply