Usul Lantik Anggota Parlimen Wanita Tanpa Pilihan Raya

KUALA LUMPUR – Wanita PKR akan mengusulkan kepada kerajaan agar wanita dilantik ke Parlimen tanpa melalui pilihan raya dalam usaha mencapai sasaran 30 peratus perwakilan kaum Hawa di Dewan Rakyat.

Ketuanya, Haniza Mohd. Talha berkata, pihaknya sedang mengatur pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Timbalannya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bagi tujuan itu.

“Kita mahu kemukakan pandangan kita tentang bagaimana kerajaan boleh memainkan peranan meningkatkan suara wanita dalam kerajaan dan Parlimen. Ini termasuk usul ‘non-constituency seats’ iaitu Dewan Rakyat sebenarnya boleh melantik pemimpin wanita untuk berada di Parlimen tanpa melalui pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Wanita PKR Zon Tengah, di sini hari ini.

Menurutnya kaedah itu diamalkan di luar negara antaranya Jerman dan negara-negara Afrika.

Haniza yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya berkata, Wanita PKR menjadikan matlamat 30 peratus wanita dalam kerajaan dan politik sebagai antara fokus sayap selepas pemilihan anggota jawatankuasa bagi penggal 2018-2021 selesai November lalu. – BERNAMA

Loading...