Tuduhan Terbaharu Sabotaj Politik Berterusan Terhadap PM

KUALA LUMPUR – Tuduhan terbaharu, bersumberkan daripada beberapa penyiasat tidak dinamakan, yang dijadikan asas untuk menyerang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, merupakan sabotaj politik yang berterusan, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.

PMO dalam satu kenyataan berkata terdapat usaha bersepadu oleh individu tertentu untuk melemahkan keyakinan terhadap ekonomi, memburukkan kerajaan dan menyingkirkan perdana menteri yang dipilih secara demokrasi, meskipun kejayaan Najib dalam mengemudi ekonomi Malaysia mengharungi keadaan tidak menentu global sekarang.

“Dilaporkan bahawa pembocoran dokumen, pemalsuan dan pemerasan berlaku untuk mengelirukan media dan orang ramai,” kata PMO sambil menambah menjadi kewajipan kepada anggota media yang bertanggungjawab untuk tidak menganggap dokumen-dokumen sebagai tulen melainkan disahkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

Mengenai tuduhan itu sendiri, perlu diberi perhatian bahawa 1Malaysia Development Bhd telahpun menyatakan ia tidak pernah menyediakan dana kepada perdana menteri, kata PMO.

PMO menegaskan bahawa 1Malaysia Development Bhd telah menyatakan ia tidak pernah
menyalurkan dana kepada Najib.

1MDB, dalam satu kenyataan berkata ia tidak pernah menyalurkan dana kepada
Perdana Menteri dan “mencadangkan sebaliknya, dan apabila beberapa media berbuat
demikian, ia amat tidak bertanggungjawab dan merupakan cubaan jelas untuk
memburukkan syarikat.”

“Pendedahan baru-baru ini telah menimbulkan kebimbangan tentang kesahihan
jumlah dokumen “dibocorkan”, yang media tertentu dan blog online seperti Sarawak
Report telah gunakan untuk mengelirukan orang ramai dan menjustifikasikan
tuduhan palsu terhadap syarikat dan kerajaan,” kata 1MDB.

“Menurut laporan media, dokumen-dokumen berkenaan didapati telah diubah dan
digunakan oleh seorang individu yang kini ditahan di sebuah negara, untuk
mengugut dan memeras ugut bekas majikannya.

“Kami amat terkejut bahawa dokumen-dokumen seperti ini, yang kewujudan dan
ketulenannya masih belum disahkan secara terbuka, terus digunakan sebagai asas
untuk mencipta tuduhan baharu yang tidak berasas terhadap 1MDB.”

Individu yang dikatakan oleh 1MDB itu jelas merujuk kepada Xavier Andre
Justo, warga Switzerland yang merupakan bekas pekerja PetroSaudi International
yang dikatakan telah memeras ugut bekas majikannya itu.

1MDB berkata ia memberi kerjasama terhadap siasatan yang dijalankan oleh
beberapa pihak berkuasa termasuk Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang
Negara dan Bank Negara Malaysia.

“Pihak berkuasa berkenaan mempunyai semua maklumat relevan, dan 1MDB meminta
semua pihak agar menunggu hasil laporan mereka sebelum membuat tuduhan
seterusnya dan tergesa-gesa membuat penghakiman,” katanya.– BERNAMA

https://youtu.be/kYICQ4i7P2w