Tiga Cabang PKR Tangguh Pemilihan Parti

BUTTERWORTH Pemilihan PKR 2018 di tiga cabang di Kedah iaitu Sik, Sungai Petani dan Kulim-Bandar Baharu ditangguhkan berikutan beberapa masalah terutamanya kelemahan petugas yang menjaga pusat mengundi.

Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Ismail Yusop berkata pihak JPP akan bermesyuarat semula bagi menentukan tarikh baharu pengundian di tiga cabang terbabit.

“Pemilihan PKR di tiga cabang itu ditangguhkan bukan disebabkan masalah sistem e-undi dan sistem kami dalam keadaan baik serta berjalan lancar. Namun, masalah itu timbul disebabkan kelemahan para petugas yang menjaga pusat mengundi.

“Memang kami telah beri latihan dan penerangan serta simulasi sebelum ini kepada petugas-petugas berkenaan, namun apabila tiba hari pengundian hari ini beberapa kelemahan daripada mereka timbul mungkin sebab gugup atau tidak memberi perhatian semasa latihan diadakan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Pemilihan PKR 2018 bermula di Kedah dan Pulau Pinang hari ini melibatkan 105,056 anggota layak mengundi bagi memilih barisan kepimpinan peringkat pusat dan cabang.

Ismail berkata bagaimanapun pihaknya tidak menyalahkan petugas-petugas terbabit kerana mereka adalah sukarelawan, selain ini merupakan kali pertama PKR mengadakan pengundian secara sistem e-undi serta mengguna pakai konsep ‘satu ahli satu undi’.

Beliau berkata pihaknya akan menambah baik kelemahan yang timbul hari ini pada pemilihan di negeri-negeri lain dan percaya masalah-masalah tersebut dapat diatasi dalam masa terdekat.

Katanya bagi cabang Sungai Petani, pengundian terpaksa ditangguhkan kerana beberapa kumpulan anggota PKR di situ tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan JPP PKR kerana membuka ‘barung panas’ berhampiran pusat mengundi.

“Masalah itu timbul sejak semalam lagi apabila berlaku kekecohan di antara anggota sehingga kami terpaksa meminta bantuan polis bagi meleraikannya. Namun hari ini, masalah barung panas itu masih tidak dapat diselesaikan dan selepas perbincangan antara JPP PKR dan calon-calon di cabang itu, kami mengambil keputusan untuk menangguhkan kepada tarikh lain,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai beberapa pusat mengundi yang dibuka lewat, Ismail berkata proses pengundian akan dibuat selama tujuh jam dan jika pusat mengundi dibuka lambat ia akan ditutup lewat.

โ€œMemang ada pusat mengundi dibuka lambat, namun pengundi tak perlu bimbang kerana proses pengundian akan dibuat selama tujuh jam,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhannya proses pengundian di semua cabang yang mengundi hari ini berjalan lancar dan pihaknya menjangkakan keputusan pengundian di Kedah dan Pulau Pinang diketahui seawal pukul 10 malam ini. – BERNAMA