Thangarani Kecewa DAP Perkecilkan Calon Wanita

IPOH – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buntong, T. Thangarani kecewa dengan sikap calon PKR-DAP, A. Sivasubramaniam kerana memperkecilkan keupayaannya selaku calon wanita yang dipilih untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Thangarani yang merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak berkata tindakan Sivasubramaniam itu bukan sahaja tidak menghormati kaum wanita, malah sengaja dilakukan bagi meraih kepentingan politik.

“Dia cakap saya tak layak cabar dirinya dan dia pertikaikan apakah MIC tiada calon lain yang boleh diketengahkan selain wanita?

“Bererti dia persoalkan keupayaan saya selaku wanita dan secara tidak langsung dia juga seolah-olah memperkecilkan peranan kaum wanita yang menjadi penggerak dalam apa jua pertubuhan termasuk politik,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Pada 30 April lalu, Sivasubramaniam dalam satu siri ceramah pembangkang di Falim mendakwa BN tidak mempunyai calon lelaki yang berkaliber untuk diketengahkan di DUN Buntong sehingga terpaksa memilih Thangarani.

Thangarani berkata pemilihan beliau selaku calon wanita juga sepatutnya tidak perlu dipertikaikan kerana pengalaman selaku Timbalan Ketua Wanita MIC pusat dan Ketua Wanita MIC Bahagian Ipoh Timur sedikit sebanyak membantu dalam merealisasikan hasrat memenangi DUN Buntong.

“Saya juga berpengalaman lebih 35 tahun dalam dunia politik. Ia bukan asing bagi saya. Cuma, saya nak tanya pada Sivasubramaniam yang saya anggap sebagai ‘adik’, adakah saya tidak layak dan mengapa isu wanita dijadikan isu?” katanya.

Selain itu, Thangarani menegaskan beliau bersedia untuk berdialog dengan Sivasubramaniam berkenaan pelbagai perkara termasuk isu pembangunan di DUN Buntong.

Katanya setelah 10 tahun menguasai DUN berkenaan, DAP bukan sahaja tidak menjalankan tugas dengan baik malah kebanyakan pembangunan yang dibawa adalah hasil usaha MIC bersama rakan komponen lain dalam BN.

“Kita buat pembinaan sistem perparitan yang menelan belanja RM900,000 di Taman Tinggi Buntong untuk mengelak banjir kilat, beri peruntukan sekitar RM1.3 juta bagi krematorium di Buntong dan pembinaan gelanggang futsal bernilai RM150,000 untuk belia setempat.

Secara kesimpulannya, kita memang laksanakan kerja-kerja ini untuk pastikan hak dan kepentingan rakyat sentiasa terjamin khususnya di DUN tersebut,” katanya.

DUN Buntong terletak dalam Parlimen Ipoh Barat dan ia dimenangi oleh Sivasubramaniam sejak dua penggal lepas. – BERNAMA

Loading...