Tempoh Serah Penyata Belanja PRU14 Khamis Ini

PUTRAJAYA – Tempoh penyerahan penyata belanja Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berakhir pada Khamis ini, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR dalam kenyataan hari ini mengingatkan semua calon yang bertanding pada PRU14 atau ejen pilihan rayanya agar menyerahkan penyata belanja pilihan raya kepada pengarah Pilihan Raya Negeri dalam tempoh 31 hari selepas tarikh keputusan PRU14 diwartakan.

Selaras dengan Seksyen 23, Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954, suruhanjaya itu berkata tempoh penyerahan tersebut akan berakhir pada 28 Jun ini (Khamis).

“Calon-calon yang gagal untuk menyerahkan penyata berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan perlu membuat permohonan maaf kepada Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan tempoh lanjutan masa sepertimana dinyatakan dalam Seksyen 30 AKPR 1954,” katanya.

Selaras dengan Seksyen 23, AKPR 1954, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan calon tidak boleh menghadiri sidang atau mengundi dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, tidak boleh menyertai mana-mana pilihan raya selama tempoh lima tahun dan boleh didakwa dan diambil tindakan atas perbuatan yang menyalahi undang-undang. – BERNAMA

Loading...