Tak Salah Beri Wang Kepada Sukarelawan – Manogaran

LIPIS – Isu pemberian wang kepada sukarelawan oleh individu yang dipercayai petugas Pakatan Harapan (PH) bukanlah satu masalah besar kerana tidak menyalahi undang-undang.

Calon PH Parlimen Cameron Highlands, M Manogaran, berkata pemberian wang itu dikira sebagai sebahagian daripada perbelanjaan kempen pilihan raya.

“Kita akan masukkan (perbelanjaan) itu dalam penyata akaun dan serahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas selesai PRK ini.

“Tidak perlulah pembangkang (Barisan Nasional) membangkitkan isu ini dan membuang masa membuat laporan polis, lebih baik menggunakan masa kempen yang singkat sebaik mungkin dengan berkempen secara sihat,” katanya ketika melakukan lawatan ramah mesra di FELDA Sungai Koyan 3, di sini hari ini.

Semalam viral di media sosial gambar seorang wanita memakai baju PH memberikan duit kepada sukarelawan.

Susulan itu, ia mendapat pelbagai reaksi daripada netizen dan juga tindakan laporan polis daripada beberapa pihak.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) juga sedang mengenal pasti pemilik akaun media sosial yang menyebarkan gambar petugas PH dipercayai mengagihkan wang kepada masyarakat Orang Asli.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, ketika ditemui selepas melawat Bilik Gerakan PH di FELDA Sungai Koyan 3 semalam, berkata setakat ini belum ada pihak tampil menjelaskan di mana lokasi gambar itu dirakam, selain motif ia disebarkan.

“SKMM perlukan masa untuk mengenal pasti pemilik akaun berkenaan dan tujuan gambar sedemikian disebarkan kepada orang ramai.

“Buat masa ini, belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab… ini perkara bersifat spekulasi dan mungkin sengaja diperbesarkan… mungkin juga bukan seperti tafsiran sebenar apa yang berlaku dalam gambar itu yang kita sendiri pun tidak pasti,” katanya. – BH Online

Loading...