Sultan Johor Menerima Mengadap Menteri Singapura

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan menerima mengadap Menteri Dalam Negeri merangkap Menteri Perundangan Singapura, K. Shanmugam di Istana Pasir Pelangi, di sini, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut catatan dalam laman Facebook Sultan Johor iaitu Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, ini merupakan kali kedua menteri-menteri dari Singapura membuat kunjungan hormat kepada Sultan Ibrahim selepas menerima mengadap Menteri Kesihatan Singapura, Gan Kim Yong dan Menteri Pembangunan merangkap Menteri Kewangan Kedua Singapura, Lawrence Wong, 15 Jun lepas.

Pertemuan selama dua jam itu mengukuhkan lagi hubungan dua hala Johor dan Singapura yang sudah terjalin sejak dahulu lagi, menurut catatan berkenaan.

Pada pertemuan itu, Shanmugam turut menyampaikan ucapan takziah di atas kemangkatan bonda Sultan Ibrahim, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah pada 1 Jun lalu di London.

Baginda turut berkenan meraikan K. Shanmugam dalam satu majlis santapan tengah hari. – BERNAMA

Loading...