SPRM Serbu Menara DBKL, Sita Pelbagai Dokumen

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan menyita pelbagai dokumen, dipercayai ada kaitan dengan penjualan 64 lot tanah milik DBKL dianggarkan bernilai RM4.28 bilion.

Sumber SPRM berkata suruhanjaya itu telah memulakan siasatan berhubung kes berkenaan sejak bulan lepas dan tindakan menyita dokumen tersebut adalah susulan siasatan yang dijalankan.

“Antara dokumen yang disita itu diperoleh daripada Jabatan Perancangan Ekonomi dan Pembangunan DBKL,” katanya sambil menambah ia telah dibawa balik ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Penggeledahan pada kira-kira 10.30 pagi di Menara 1 DBKL di Jalan raja Laut di sini itu melibatkan sepasukan lima pegawai dan anggota SPRM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut.

Pada 16 Mei lepas, Anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng membuat laporan kepada SPRM Wilayah Persekutuan berhubung dakwaan penjualan lot-lot tanah milik DBKL berkenaan membabitkan keluasan 171.7 hektar yang dikatakan berlaku antara 2014 dan 2018. – BERNAMA

Loading...