Singapura Alu-Alukan Kunjungan Azmin

MENURUT laporan dipetik laman berita The Straits Times Singapura, Azmin memulakan lawatan dua harinya semalam yang termasuk pertemuan dengan Menteri Pembangunan republik itu, Lawrence Wong dan Menteri Luar, Dr. Vivian Balakrishnan.

Menerusi Facebook, Balakrishnan berkata, beliau saling bertukar pendapat ketika majlis makan malam bersama Azmin dan menghantar gambar dirinya dan pemimpin Malaysia itu berbual di sepanjang tebing Sungai Singapura.

Beliau menambah, dirinya dan Azmin saling berbincang secara terbuka dan berterus terang serta mengesahkan, ‘ada lebih banyak peluang untuk Malaysia dan Singapura bekerja bersama, terutama ketika peralihan ekonomi global.’

Pertemuan itu dilakukan berikutan keputusan Singapura menangguhkan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Kementerian untuk Iskandar Malaysia (JMCIM), pada mulanya dijadualkan hari ini.

Menjawab soalan media semalam, Balakrishnan mendedahkan, beliau sudah menghantar nota bantahan kepada kerajaan Malaysia Jumaat lalu berhubung campur tangan Osman.

“Singapura menghantar satu nota diplomatik kepada Malaysia 11 Januari lalu untuk membantah lawatan tanpa izin Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian pada 9 Januari lalu untuk menaiki kapal Pedoman milik Jabatan Marin Malaysia, yang berlabuh secara haram dalam Perairan Wilayah Singapura di luar pantai Tuas.

“Tindakan provokasi seperti itu adalah bertentangan dengan perjanjian dicapai sehari sebelumnya oleh Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah, bagi menyelesaikan isu dua hala dengan cara tenang dan membina,” katanya.

Ia menambah, campur tangan itu mewujudkan satu persekitaran ‘tidak kondusif’ untuk mengadakan pertemuan, yang menjurus keputusan Singapura, dipersetujui Malaysia, supaya menangguhkannya.

“Namun Singapura mengalu-alukan inisiatif Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk melakukan lawatan dua hala dan pertemuan akan datangnya dengan menteri kami pada 13 dan 14 Januari,” kata kementerian.

JMCIM ditubuhkan pada 2007 untuk meneliti bagaimana dua jiran itu dapat bekerja bersama dalam zon ekonomi Johor Selatan di Iskandar. – Agensi

Loading...