Sah Tiada Pemilihan Jawatan UMNO Tahun Depan

HASRAT segelintir pihak tertentu sengaja mahu melihat perpaduan UMNO ‘pecah’ teruk menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 nampaknya musnah apabila pemilihan jawatan parti terbesar umat Melayu Islam itu ditunda.

Perkara itu disahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak apabila beliau sendiri mengumumkan bahawa pemilihan parti yang dijadualkan pada 2016 ditangguhkan selama 18 bulan melibatkan semua peringkat.

Penundaan selama setahun setengah itu sebenarnya bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja parti tersebut untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang yang dijadualkan selewat-lewatnya sekitar Jun 2018.

Najib berkata, pada masa sama ia turut bertujuan memberi keutamaan terhadap khidmat parti kepada rakyat dengan segala keperluan sama ada di peringkat dasar mahu pun akar umbi sepanjang tempoh ‘bertenang’ itu.

“Ini bagi pengukuhan jentera UMNO agar lebih mantap menghadapi pilihan raya umum akan datang. Ini bukan perkara luar biasa,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC, lewat Jumaat.

Untuk rekod, penangguhan pemilihan parti tersebut sudah pun pernah dilakukan pada zaman pentadbiran dua bekas presiden UMNO terdahulu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Kita mengumumkan penangguhan ini adalah kerana kita tidak mahu ada pihak nanti yang sudah merancang strategi politik untuk menghadapi pemilihan dan boleh mengeruhkan suasana politik dalaman itu sendiri.

“Ini juga dapat memberikan ruang dan peluang bagi pengukuhan parti dan kerja yang patut kita lakukan supaya UMNO dan rakan-rakan komponen BN kita lebih mantap untuk menghadapi pilihan raya akan datang.”

“Setelah membincangkan perkara ini dengan mendalam maka MT mengambil keputusan supaya pemilihan yang dijadualkan pada tahun hadapan 2016 ditangguhkan selama 18 bulan mengikut Fasal 10.16 perlembagaan parti.

“Ia beri hak kepada MT sendiri menangguhkan pemilihan pada peringkat MT, bahagian dan cawangan. Penangguhan ini tidak boleh lebih 18 bulan daripada tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan,” kata Najib.

Kali terakhir UMNO mengadakan pemilihan parti berkenaan ialah sekitar Oktober 2013 selepas menangguhkannya bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei 2013.

Pemilihan itu sepatutnya dilangsungkan pada 2012. Mandat kepimpinan penyandang jawatan UMNO sekarang akan berakhir pada 2016. Manakala mandat Parlimen sekarang pula hanya akan berakhir pada 2018.

Sementara itu, mengulas kemelut dalaman MIC, Najib berkata sebagai Perdana Menteri beliau tiada ada pilihan selain akur kepada keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung penyelesaian kemelut MIC.

Katanya, beliau sudah melihat surat RoS dan akur keputusan itu yang disahkan oleh Mahkamah. Beliau menyerahkan kepada ahli-ahli MIC untuk menentukan sendiri barisan kepimpinan mereka.

“Saya tidak mahu dituduh mencampuri urusan dalaman MIC pula,” katanya. Beliau turut ditanya mengenai tindakan pihak berkuasa terhadap fitnah portal propembangkang Sarawak Report berhubung isu 1MDB.

Najib menegaskan kerajaan akan tunggu laporan dan pengesahan polis diraja Thailand kepada pihak Polis Diraja Malaysia. “Kalau kita sudah tahu, baharu boleh buat keputusan sewajarnya,” tegas Perdana Menteri.

Mengenai isu kontroversi pembelian asrama di Australia oleh Majlis Amanah Rakyat pula, MT UMNO bersetuju untuk memastikan kerajaan memberi sepenuh komitmen bagi memastikan siasatan dapat dilakukan secara telus.

Najib berkata, orang ramai perlu memberi masa untuk siasatan dijalankan dan tidak membuat penghakiman menerusi media sosial. “Semua perlu ikut proses ditetapkan undang-undang,” katanya. – Agensi/Mynewshub