RM555 Juta, Tidak Lebih Tidak Kurang – Anthony Loke

PUTRAJAYA – Kerajaan hanya akan membayar RM555 juta kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi kos pengambilalihan dua syarikat bagi projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak LTAT mengenai perkara itu, namun menegaskan pihaknya tidak terikat dengan perjanjian antara LTAT dan kerajaan terdahulu.

“Kita akan duduk bincang dengan LTAT, namun pendirian kita tetap akan hanya membayar RM555 juta, tidak lebih dan tidak kurang.

“Kita tidak akan terikat dengan janji kerajaan terdahulu, setakat mana yang kami faham, kos itu (RM555 juta) sudah ditetapkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Pengerusi LTAT Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor yang menyifatkan keputusan untuk membayar RM555 juta tidak adil dan bercanggah dengan perjanjian konsesi yang ditandatangani, sebelum ini.

Semalam, Mohd Anwar berkata, pihak lembaga ditawarkan kerajaan sebelum ini untuk mengambil alih ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd yang dianugerahkan bagi membekal, memasang serta menyelenggara 1,093 kamera AES di beberapa lokasi strategik.

Bersandarkan kajian kebolehlaksanaan dan manfaat komersial, katanya, kertas cadangan pengambilalihan itu diketengahkan dan diluluskan LTAT membabitkan Lembaga Pengarah dan panel pelaburan, sebelum mendapat persetujuan akhir Kabinet pada 2015.

Bagaimanapun, kerajaan (terdahulu) menerusi Kementerian Kewangan memutuskan untuk mengambil alih AES, yang kemudian diberi nama baharu iaitu Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) daripada LTAT pada November 2017.

“Antara persetujuannya ialah kerajaan akan membayar balik semua kos pelaburan LTAT dalam projek AES di samping pulangan berkadar 12 peratus setahun,” katanya

Pada 17 Ogos lalu, Siew Fook, dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju membayar balik RM555 juta dana LTAT secara berperingkat yang sebelum ini digunakan untuk mengambil alih operasi 47 kamera AES termasuk aset pada 2015.

Bayaran RM295 juta dan RM260 juta, masing-masing kepada ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd itu tidak membabitkan pemilikan aset yang besar, kecuali hanya untuk 47 kamera AES. – BH Online