Rang Undang-Undang MKN Bikin PKR Gelisah!

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) cuba memutar-belitkan kewajaran Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang berjaya diluluskan oleh Dewan Rakyat malam semalam.

Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh dalam satu kenyataan cuba menghasut orang ramai supaya membantah undang-undang itu dengan menuduh ia akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara diktator.

PKR turut bersikap melampau apabila cuba mengaitkan kelulusan undang-undang itu konon dengan usaha merampas kuasa Yang Di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Keseluruhan undang-undang bersifat terlalu umum tidak jelas dalam kebanyakan takrifannya serta bidang kuasa yang amat luas diberikan kepada MKN untuk menentukan sesuatu sebagai isu keselamatan

“Kuasa yang luas diberikan kepada pasukan keselamatan untuk mengabaikan hak-hak asasi manusia manusia dalam kawasan keselamatan, hak jaminan perlindungan kepada seorang warganegara biasa dicabuli,” dakwanya dalam kenyataan itu hari ini.

Syed Ibrahim turut mendakwa, Malaysia tidak memerlukan rang undang-undang seperti itu kerana negara ini mempunyai pelbagai undang-undang keselamatan lain.

Pada 3 Disember lalu, Rang Undang-Undang MKN yang digubal untuk memperkukuhkan lagi mekanisme serta sistem pengurusan dalam menangani ancaman terhadap keselamatan negara diluluskan oleh Dewan Rakyat malam ini.

Menerusi rang undang-undang itu, MKN berkuasa antaranya mengisytiharkan kawasan keselamatan, mengawal pergerakan, menahan atau memindah suspek, menyita dan mengeladah, merampas serta mengetepikan inkues dikemukakan pihak berkaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dipetik berkata, rang undang-undang itu perlu bagi memudahkan perkongsian risikan serta tindak balas secara bersepadu oleh pasukan keselamatan negara terhadap sesuatu ancaman.

Shahidan memberi contoh Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) mempunyai tiga agensi bertugas iaitu polis, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan tentera tetapi tentera tiada kuasa menahan.

“Tujuannya ialah supaya semua kawasan keselamatan yang telah diwartakan itu mempunyai undang-undang sama dan boleh dikuatkuasakan oleh semua agensi penguatkuasaan,” kata Shahidan. – mynewshub.cc

Loading...