PRU14: Polis Perlis Keluar 159 Permit Ceramah

KANGAR – Polis Perlis mengeluarkan 159 permit ceramah kepada parti-parti politik sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), bermula 28 April lepas.

Ketua Polis Perlis Datuk Azisman Alias berkata permit dikeluarkan melalui ketua-ketua polis daerah di seluruh negeri ini dan setiap ceramah yang berlangsung turut dipantau.

“Setakat ini semua ceramah berjalan dengan baik, tenang dan terkawal, tiada sebarang insiden berlaku,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan wakil parti-parti politik di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata pihaknya menerima tujuh laporan beberapa insiden sepanjang tempoh berkempen melibatkan kes-kes kecil seperti merosakkan poster.

“Tiada kes serius di Perlis setakat ini, cuma adalah insiden seperti kata-kata cercaan yang tidak serius terhadap parti atau individu sehingga menyebabkan pergaduhan kecil,” katanya.

Terdahulu beliau mengadakan perjumpaan dengan kira-kira 50 wakil daripada parti-parti yang bertanding dalam PRU14 di seluruh negeri. – BERNAMA