Thursday, March 28, 2024

Creating liberating content

Jenazah Abdullah Ahmad Selamat...

KOTA BAHARU - Jenazah bekas Setiausaha Politik Tun Abdul Razak Hussein iaitu Tan...

Mahathir Sedia Serah Jawatan...

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersedia untuk melepaskan jawatan sebagai...

Mangsa Banjir Kilat Di...

KUALA LUMPUR - Seramai 27 mangsa daripada enam keluarga lagi dari Kampung...

1,845 Lagi Kes Baru...

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam merekodkan sebanyak 1,845 lagi kes baru Covid, menjadikan...

PRU14: Mungkinkah Calon Wanita Di Sabah Bertambah?

KOTA KINABALU – Trend penglibatan golongan wanita di negara ini dalam pentas politik tidak dapat disangkal lagi sehingga ada antara mereka menjadi figura hebat yang diangkat sebagai calon mewakili sesebuah parti untuk bertanding sekali gus menyumbang kemenangan pada setiap pilihan raya.

Penyertaan golongan wanita dalam arena politik juga dapat dilihat sebagai mengiktiraf dan memartabatkan lagi sumbangan serta peranan golongan itu yang semakin dominan dalam mencorakkan pembangunan negara dan negeri selain usaha proaktif merealisasikan sasaran 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan.

Di Sabah tidak terkecuali, wanita turut diberi peluang mewakili setiap parti politik untuk bertanding pada pilihan raya sama ada bagi kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) memandangkan manifesto dibentangkan parti politik antara lain turut menjanjikan kemaslahatan kepada golongan itu.

Mengambil contoh pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), calon wanita dipilih untuk bertanding termasuk penyandang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Parlimen Papar Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Datuk Azizah Mohd Dun (BN-Parlimen Beaufort); Datuk Mary Yap Kain Ching (BN-Parlimen Tawau); dan Tsen Thau Lin (BN-Parlimen Batu Sapi).

Turut terpilih sebagai calon pada PRU13 antara lain ialah penyandang wakil rakyat BN DUN Karambunai Datuk Jainab Ahmad Ayid; Datuk Anita Baranting (BN-DUN Tandek); Christina Liew (PKR-DUN Api-Api); dan Datuk Hamisa Samat (BN-DUN Tanjong Batu).

Persoalannya sekarang adalah mungkinkah bilangan calon wanita di Sabah pada PRU14 ini akan bertambah?

Penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ramli Dollah berkata peningkatan jumlah calon wanita di negeri ini sememangnya tidak dapat dielakkan berikutan terdapat pelbagai gesaan berterusan oleh parti politik supaya meletakkan calon wanita pada pilihan raya umum kali ini.

Representasi wakil rakyat wanita juga amat diperlukan melihat kepada perkembangan dalam masyarakat Sabah ketika ini yang menginginkan golongan berkenaan diberikan peluang lebih besar untuk terlibat dalam politik, katanya kepada Bernama.

“Berdasarkan kepada daftar pengundi 2018, jumlah pengundi lelaki dan wanita adalah hampir seimbang di hampir keseluruhan kawasan DUN dan Parlimen Sabah sama ada di bandar atau luar bandar,” katanya.

Meskipun begitu, Ramli yang juga pensyarah kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS berkata, perwakilan wanita dalam arena politik Sabah dilihat masih kurang, dan berdasarkan representasi di DUN, hanya terdapat empat orang sahaja atau mewakili 15 peratus daripada keseluruhan 60 kerusi DUN.


“Oleh itu, sudah tiba masanya untuk mengangkat peranan wanita dalam politik bagi memastikan mereka mampu merealisasikan harapan jumlah pengundi wanita yang hampir sama dengan lelaki di negeri ini,” katanya.

Pandangan sama turut diberikan oleh seorang lagi penganalisis politik UMS Fadilah Sarbi yang berkata dengan mengetengahkan penyertaan lebih ramai ahli politik wanita sama ada di peringkat DUN atau Parlimen akan membolehkan suara golongan itu didengar dan menjadi semakin ‘besar’.

Pensyarah Geopolitik, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS itu berkata parti kerajaan mahupun pembangkang meletakkan ahli politik wanita pada satu sudut istimewa, dan berdasarkan pilihan raya lepas, masing-masing parti mencalonkan nama-nama wanita cukup hebat yang turut memberi persaingan pada pilihan raya itu.

Mengulas lanjut, Fadilah berkata, pada PRU13, Barisan Nasional (BN) meletakkan lapan calon wanita, yang tujuh daripadanya menang dan telah diangkat menjadi menteri mahupun timbalan menteri di peringkat nasional dan juga negeri.

“Saya melihat parti-parti yang bertanding pada PRU14 ini akan meletakkan calon wanita dan paling utama adalah ‘winnable candidate’ (calon boleh menang) bagi mereka,” katanya.

Semalam, PAS mengumumkan akan meletakkan dua calon wanita di Sabah pada PRU14 iaitu Norsah Bongsu, 47, muka baharu bagi Parlimen Batu Sapi dan DUN Karamunting, serta Dausieh Queck @ Paraman, 38, bagi DUN Pitas. – BERNAMA

Kategori