Program Anwar Di UM Dibantah 20 Perwakilan Mahasiswa

Program Pidato yang melibatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Malaya (UM) esok, mendapat bantahan daripada 20 perwakilan mahasiswa dari beberapa universiti utama di Lembah Klang.

Memetik laporan laman web bnbbc.my, kumpulan itu menghantar memorandum kepada pihak polis menyuarakan bantahan mereka ke atas program yang akan berlangsung di Dataran Dewan Tunku Canselor UM.

Pengerusi PENGGERAK UM, Wan Mohd Suhail Wan Senu berkata, mereka membantah program itu kerana lokasinya di dalam universiti akan digunakan untuk menghasut serta mengeksploitasi mahasiswa melakukan demonstrasi jalanan bagi menyokong agenda peribadi Anwar.

[BACA – Pelajar Anjur Forum Anwar Di UM, Rela Dipenjara Dan Dipecat]

Program itu dikatakan akan dijadikan pentas mencetuskan gelombang reformasi kedua mirip reformasi pada 1998 ketika itu Anwar dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Wan Mohd Suhail dan perwakilan universiti lain tidak mahu pelajar terus diperalatkan untuk menimbulkan kekacauan dan huru-hara dalam negara seperti berlaku ketika era reformasi itu.

“Lebih merisaukan kami, Presiden Persatuan Mahasiswa UM (PMUM), Fahmi Zainol atas kapasiti individu dengan lantang menyalahgunakan kuasa beliau sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UM (MPPUM) mengajak mahasiswa turun ke jalanan dan menyertai Himpunan Reformasi Rakyat Hakim Negara.

“Tindakan beliau itu tanpa sebarang persetujuan atau berunding bersama dengan 43 ahli MPP terlebih dahulu.

“Kenyataan Fahmi yang menyeru golongan mahasiswa untuk terlibat dalam himpunan reformasi itu bukanlah agenda yang sihat, malah dia secara nyata mencabar sistem kehakiman negara sekaligus mencampuri urusan perundangan dalam kes Anwar,” dakwanya.

Kenyataan beliau dibuat selepas selesai penyerahan memorandum yang turut menuntut tiga perkara kepada wakil polis di Balai Polis Pantai, kelmarin.

Selain mereka, tuurt sama menyerahkan memorandum ialah perwakilan Majlis Perwakilan Pelajar UM, Faridzwan Karim, perwakilan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), serta beberapa perwakilan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Bagi pihak pengurusan UM, Naib Canselor Hal Ehwal Pelajarnya Prof Datuk Dr Rohana Yusof telah pun mengumumkan program berkenaan sebagai haram kerana ia akan merosakkan imej UM.

Bagaimanapun, pihak Fahmi yang bertanggungjawab menjemput Anwar ke majlis itu terus berdegil akan meneruskan program berkenaan dan rela diambil tindakan termasuk sanggup dipenjarakan.

Ketua Balai Polis Pantai, Inspektor Mohd Suhaibi Sulong ketika ditemui selepas menerima memorandum itu berkata, pihaknya akan meneliti dokumen itu sebelum tindakan lanjut diambil. – MYNEWSHUB.CC

Oleh : IBNU K