PRK Semenyih: Hari Penamaan Calon 16 Februari

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh 16 Februari iaitu Sabtu ini sebagai hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pusat penamaan calon yang ditetapkan adalah di Dewan Seri Chempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Saujana Impian dekat Kajang.

Jelasnya, SPR turut menetapkan tempoh masa untuk mengemukakan kertas penamaan calon bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 10.00 pagi.

“SPR mengingatkan kepada bakal calon yang telah membayar deposit pilihan raya agar membawa resit pembayaran deposit tersebut pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran.

“Selain itu, mereka yang bertanding mewakili parti politik diingatkan supaya membawa surat kebenaran daripada parti yang membenarkan mereka menggunakan simbol parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azhar Azizan, penggunaan alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan kenderaan tidak boleh dilakukan bertepatan dengan Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

Tambahnya, orang ramai juga dilarang menunggu atau berada pada jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon dan jika ada pihak yang melanggar peruntukan seksyen itu boleh dikenakan tindakan undang-undang. – K! ONLINE

Loading...